am@hmetro.com.my
Jasin: Lelaki yang hilang selepas bot dinaiki bersama tiga ahli keluarga terbalik ditemukan lemas di sungai berhampiran Loji Lanchang di Kampung Seri Lanchang, Merlimau, hari ini.
Komander Operasi Mohd Farid Abu Bakar berkata, mayat Muhammad Nur Fitri Abd Rahman, 21, ditemui pada 2.21 petang dalam jarak 50 meter dari tempat dia dilaporkan terjatuh.
“Kami membuat buat pencarian dan mangsa dijumpai di bawah benta atau di bawah akar pokok menjalar.
“Mayat mangsa kemudian dibawa naik ke atas pada 2.40 petang dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Cabaran kita dalam mencari dan menyelamat mangsa adalah arus air di bawah terlalu kuat menyebabkan pencarian agak sukar. Alhamdulillah, kita berjaya menemuinya,” katanya kepada media di lokasi pencarian.
Seramai 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin, BBP Jasin Bestari dan BBP Melaka Tengah termasuk 10 anggota Pasukan Penyelamat di Air terbabit operasi berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin Superintendan Mohamad Rusli Mat berkata, siasatan awal mendapati keempat-empat mangsa menaiki bot untuk menjala berhampiran Loji Air Lanchang.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, bot dinaiki mereka dimasuki air dan tenggelam dengan semua mangsa cuba berenang ke tepi untuk berpaut pada rumput.
“Tiga mangsa iaitu Abdul Razak Abdullah, 44, Aziziah Hussain, 36, dan Muhammad Nor Abdul Razak, 7, berjaya menyelamatkan diri, manakala Muhammad Nur Fitri hilang,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Jasin untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
Dalam pada itu, suasana pilu menyelubungi di lokasi apabila ahli keluarga tidak dapat menahan sedih dengan penemuan mayat mangsa.
Ibu mangsa terpaksa dipapah dan diberi minuman di dalam ambulans oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Jasin kerana kelihatan amat sedih dan hampir pengsan.
Malah, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai, Siti Faizah Abdul Azis turut membantu menenangkan mangsa.
Terdahulu, media melaporkan bot dinaiki empat sekeluarga yang sedang menjala ikan dan udang di sungai itu terbalik berhampiran Loji Lanchang kira-kira 10.30 pagi tadi.
Tiga daripada mereka iaitu abang, kakak ipar dan anak saudara mangsa berusia tujuh hingga 44 tahun berjaya diselamatkan orang awam sebelum dihantar ke Hospital Jasin untuk rawatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd