Bot karam, seorang lemas manakala tiga rakan terselamat

Bot karam, seorang lemas manakala tiga rakan terselamat

KUALA LUMPUR – Seorang nelayan warga Indonesia ditemui lemas selepas bot kelas C dinaiki tenggelam akibat cuaca buruk di kedudukan dua batu nautika Pantai Redang, Sekinchan, kelmarin.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menerima laporan berhubung kejadian itu daripada Balai Polis Sekinchan kira-kira jam 4 petang semalam.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, tiga daripada empat mangsa yang terlibat berjaya diselamatkan oleh bot yang berhampiran manakala seorang lagi mangsa dilaporkan hilang.

“Susulan itu, Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) telah diaktifkan dan Bot Perkasa 36 telah diatur gerak ke lokasi kejadian untuk mencari mangsa yang hilang.

“Lebih kurang jam 6.15 petang semalam, Balai Polis Sabak Bernam memaklumkan mayat mangsa ditemui tersangkut di jaring pukat bot di Bagan Sekinchan.

“Kemudian, mayat terbabit telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, lebih 30 anggota dan pegawai membabitkan pelbagai agensi digerakkan dengan keluasan pencarian seluas lima batu nautika persegi iaitu sekitar perairan pantai Sekinchan.

Abdul Muhaimin memaklumkan, operasi Carilamat itu ditamatkan sepenuhnya pada pukul 9 malam semalam. – MalaysiaGazette