am@hmetro.com.my
Langkawi: Seramai 24 kru diselamatkan selepas bot pukat bilis mereka bocor sebelum tenggelam di perairan Pantai Kok, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 12 tengah hari, kesemua kru berkenaan diselamatkan oleh nelayan dari tiga bot lain yang berada berhampiran lokasi kejadian.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam kenyataan memaklumkan Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi menerima maklumat kejadian pada 1.05 tengah hari.
“MRSC Langkawi menerima laporan mengenai sebuah bot nelayan tempatan membawa 24 kru terdiri dua warga tempatan dan 22 warga Thailand karam di perairan Pantai Kok.
“Kesemua mangsa diselamatkan tanpa kecederaan oleh tiga bot lain yang berada berhampiran lokasi kejadian. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tidak diaktifkan,” katanya.
Semalam, satu video berdurasi dua minit 45 saat tular di media sosial memaparkan kejadian sebuah bot nelayan tenggelam sebelum semua krunya diselamatkan bot lain yang berada berhampiran.
© New Straits Times Press (M) Bhd