Lyon: Pemilik Lyon dari Amerika Syarikat, John Textor memberikan sokongan penuh kepada Paulo Fonseca walaupun pengendali Portugal itu digantung selama sembilan bulan kerana konfrontasi dengan pengadil, Benoit Millot.
Fonseca menerima hukuman berat selepas insiden dalam kemenangan 2-1 ke atas Brest pada aksi Ligue 1, Ahad lalu, di mana beliau didakwa ‘menyentuh kepala’ pengadil sambil menjerit ke arahnya.
Akibatnya, pengendali berusia 52 tahun itu bukan sahaja dilarang berada di bangku simpanan dan bilik pengadil sehingga November, malah turut dihalang daripada memasuki bilik persalinan pasukannya sendiri sehingga pertengahan September.
Keputusan itu mencetuskan spekulasi mengenai masa depannya di Lyon, hanya beberapa minggu selepas beliau menggantikan Pierre Sage sebagai jurulatih utama.
Bagaimanapun, Textor segera menegaskan bahawa Fonseca masih orang yang tepat untuk menerajui kelab itu.
“Selamat Hari Lahir, Paulo! Saya berdiri bersama anda hari ini dan selamanya,” tulis Textor di media sosial selepas keputusan itu diumumkan.
“Anda melakukan kesilapan, permohonan maaf anda ikhlas dan hukuman ini jelas terlalu berat.
“Anda adalah individu yang tepat untuk Lyon dan kita akan terus berjuang bersama,” tambahnya.
Lyon turut mengkritik ‘keputusan yang terlalu keras’ dan sedang mempertimbangkan ‘segala tindakan undang-undang yang mungkin’ bagi mencabar hukuman itu.
Namun, Fonseca masih boleh membimbing pasukannya dalam saingan Liga Europa kerana penggantungan itu hanya terpakai dalam pertandingan domestik.
Hukuman ke atasnya hadir seminggu selepas Presiden Marseille, Pablo Longoria digantung 15 perlawanan kerana mendakwa wujud unsur ‘rasuah’ dalam pengadilan perlawanan Ligue 1.
Ketua jawatankuasa disiplin Ligue 1, Sebastien Deneux, berkata, bahawa beliau kesal kerana sekali lagi figura utama liga menunjukkan tingkah laku yang tidak wajar.
“Fonseca adalah seorang jurulatih di Ligue 1, beliau juga seorang pendidik. Sudah tentu sikap seperti ini langsung tidak selari dengan tugasnya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd