London: Keputusan Sauber menandatangani pemandu Brazil, Gabriel Bortoleto bermakna sekurang-kurangnya lima daripada 20 pemandu Formula Satu (F1) yang akan bermula pada musim penuh pada 2025, menyaksikan kemunculan bakat muda dengan pantas.
“Kita sedang menyaksikan perubahan generasi dalam Formula Satu dengan pemandu muda pantas memberi kesan,” kata Pengerusi Sauber Motorsport dan Ketua Eksekutif Audi, Gernot Dollner dalam kenyataan ketika mengumumkan kehadiran Bortoleto.
Bortoleto, 20, akan bersaing dengan bakat baru seperti Kimi Antonelli (18 tahun), Oliver Bearman (19) dan Jack Doohan (21) yang merebut slot bersama Mercedes, Haas dan pasukan dimiliki Renault, Alpine.
Liam Lawson (22) yang menggantikan Daniel Ricciardo (35) di RB musim ini, dilihat bersedia untuk bersaing pada musim penuh manakala Franco Colapinto (21) adalah pemandu pilihan yang cemerlang bersama Williams.
Jika Sergio Perez (34) digugurkan oleh Red Bull pada hujung musim ini sekalipun pemandu Mexico itu masih memiliki baki kontrak, ada kemungkinan besar Colapinto akan mendapat peluang.
Red Bull turut memiliki pemandu kacukan Perancis-Algeria, Isack Hadjar (20) yang mencabar gelaran Formula Dunia (F2) dalam senarai mereka.
Sukan itu masih memiliki pemandu berusia seperti juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton (39); juara dunia dua kali, Fernando Alonso (43) dan Nico Hulkenberg (37), tetapi prestasi mereka kini kelihatan semakin menurun.
Graduan muda daripada F2 sering mendapatkan peluang sejak beberapa tahun lalu kerana walaupun juara F2 gagal merebut tempat, tidak mengejutkan apabila bakat muda terus mencuri tumpuan.
Bearman yang dilahirkan daripada produk akademi Ferrari serta pemandu muda Red Bull, Lawson dan Colapinto – yang meraih mata apabila berlumba sebagai pelumba gantian pada musim ini – membuka mata dan meyakinkan banyak pihak yang meragui mereka.
“Saya tahu betapa hebatnya pemandu muda ini. Saya cukup kenal Ollie kerana pengalaman silam,” kata bos Sauber yang juga bekas prinsipal Ferrari, Mattia Binotto.
“Dia adalah sebahagian daripada pemandu akademi kami dan saya tahu Ollie berupaya bertindak cemerlang di F1.”
© New Straits Times Press (M) Bhd