Bordeaux jadi kelab amatur selepas fail muflis

Bordeaux jadi kelab amatur selepas fail muflis

Bordeaux: Bekas juara Ligue 1 Perancis, Bordeaux memaklumkan bahawa mereka akan menjadi kelab amatur buat kali pertama selepas hampir 90 tahun apabila memfailkan muflis.

Pada awal minggu ini mereka mengumumkan bahawa akan diturunkan ke liga ketiga, Championnat National selepas penilaian kewangan oleh badan pengawas bola sepak Perancis, DNCG.

Bordeaux, yang berpusat di barat daya Perancis, memenangi gelaran liga utama terakhir mereka pada tahun 2009.

Mereka mula bergelar profesional pada tahun 1937.

Kelab itu perlu mencari €40 juta (RM202.67 juta) untuk menyeimbangkan kewangan mereka dan sudah berbincang dengan pemilik Liverpool, Fenway Sports Group (FSG), sebelum pelabur Amerika itu menarik diri dari rundingan awal bulan ini.

“Pada hari Selasa, kelab itu memfailkan muflis dengan mahkamah komersial Bordeaux, untuk dapat memulakan penstrukturan semula.

“Kelab terpaksa melepaskan permohonan untuk mengekalkan status profesionalnya” kerana ia berisiko berdepan “hukuman berat” jika mereka membentangkan pelan pemulihan kepada DNCG yang tidak mencerminkan realiti kewangan masa depannya.

Bordeaux diturunkan ke Ligue 2 pada 2022, 12 tahun selepas mara ke suku akhir Liga Juara-Juara.

“Saya terperanjat dengan perkara ini dan keputusan peribadi yang dibuat oleh Gerard Lopez,” kata Pierre Hurmic.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top