Bomba usaha padam api longgokan kertas kitar semula

Bomba usaha padam api longgokan kertas kitar semula

bhnews@bh.com.my

SUNGAI PETANI: Pasukan bomba masih berusaha memadam kebakaran membabitkan longgokan bahan kitar semula kertas mampat di sebuah kilang di Taman Setia Budi, di sini, sejak lebih enam jam lalu.

Setakat jam 10.19 malam tadi, peratusan kebakaran di lokasi tinggal 40 peratus saja lagi untuk dipadamkan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 4.01 petang tadi.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu tiba di lokasi kejadian pada jam 4.04 petang dan kebakaran membabitkan longgokan kertas kitar semula yang dimampatkan yang diletakkan di kawasan terbuka kilang berkenaan serta tidak membabitkan struktur kilang.

“Operasi dibantu BBP Sungai Petani, Yan dan BBP Kepala Batas di Pulau Pinang.

“Dua jentera dari BBP Tikam Batu dan dua jentera dari BBP Sungai Petani terbabit dalam operasi ini, selain masing-masing satu jentera air dari BBP Yan serta Kepala Batas turut berada di lokasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, operasi turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Sungai Puyu, Sungai Petani dan Kepala Batas serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata, operasi turut membabitkan tindakan mengalihkan kertas di lokasi menggunakan dua jentera berat.

“Anggaran peratusan kemusnahan adalah 60 peratus sehingga 70 peratus, manakala anggaran keluasan kebakaran adalah 800 kaki persegi,” katanya.

Mohamadul Ehsan berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Kedah kemudian meminta bantuan sebuah lori tangki air dari BBP Yan dan BBP Aman Jaya dan api berjaya dikawal jam 5.10 petang.

“Operasi masih berjalan untuk memastikan api dapat dipadam sepenuhnya.

“Tiada mangsa berada di lokasi ketika kejadian dan punca serta kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top