Bom jangka di Gaza

Bom jangka di Gaza

HAMPIR setahun konflik di Gaza berlangsung, dan belum ada tanda-tanda ia akan berakhir. Walau puluhan ribu nyawa terkorban, nampak gayanya tentera Israel masih belum puas.

Penduduk di semua wilayah di Palestin umpama nyawa di hujung tanduk dengan bahaya menanti di mana saja.

Ketika penduduk di tanah berkenaan masih dalam keadaan tidak selamat kerana bimbangkan serangan tentera Israel yang bila-bila masa boleh berlaku, kini mereka diancam pula masalah kesihatan yang mungkin menambah lagi tekanan hidup khususnya buat mereka yang memiliki anak kecil.

Pada 16 Julai lalu, Kementerian Kesihatan Gaza mengumumkan poliovirus telah dikesan dalam enam sampel air sisa yang dikumpul pada akhir Jun di tapak perlindungan di Khan Younis dan Deir al-Balah.

Virus polio disebarkan melalui laluan ‘fecal-oral’ – melalui sentuhan dengan najis kanak-kanak yang dijangkiti atau pengambilan air atau makanan tercemar oleh najis.

Dalam keadaan di mana 1.9 juta penduduk Gaza bersesak di kem yang tidak bersih dengan sedikit akses kepada air bersih dan sanitasi serta sisa kumbahan yang tidak dirawat mengalir secara terbuka di antara khemah, ia umpama persekitaran ideal untuk virus itu berkembang biak.

Sejak perang bermula pada Oktober 2023, 70 peratus kemudahan air dan sanitasi di Gaza telah terjejas dengan ketara dan kira-kira 340,000 tan sisa pepejal telah terkumpul di dalam atau berhampiran kawasan berpenduduk, menurut anggaran Kluster Air, Sanitasi dan Kebersihan PBB.

Pada Jun lalu, organisasi global yang memerangi ketidaksamaan untuk menamatkan kemiskinan dan ketidakadilan – Oxfam, menganggarkan hanya terdapat satu tandas untuk setiap 4,130 orang di Al-Mawasi, yang sepatutnya ‘zon selamat’ di barat Khan Younis.

Dr Tanya Haj-Hassan, seorang doktor penjagaan rapi kanak-kanak, memberitahu Al Jazeera bahawa kehadiran virus dalam kumbahan adalah ‘bom masa yang berdetik.’

Katanya, kebiasaannya, sekiranya terdapat kes polio, pesakit akan diasingkan dan mereka akan dipastikan tidak menggunakan bilik mandi yang digunakan oleh orang lain atau mendekati individu lain.

Namun, keadaan itu mustahil untuk dilaksanakan di Gaza.

Ini kerana, hampir semua orang ditempatkan di kem pelarian tanpa vaksin sejak sekurang-kurangnya sembilan bulan yang lalu, termasuk kanak-kanak.

Dalam keadaan virus ini dikesan, individu dewasa termasuk pekerja kesihatan, seharusnya menerima dos penggalak.

Akhirnya, selepas beberapa minggu kebimbangan wabak polio disuarakan, pertengahan Ogos lalu, seorang bayi lelaki berusia 10 bulan dilaporkan lumpuh separuh badan selepas dijangkiti polio, kes pertama di Gaza pada abad ini.

Pakar kesihatan menyalahkan Israel atas masalah ini kerana menjadi punca kemusnahan infrastruktur kesihatan dan sanitasi Gaza.

Sekiranya Israel terus menyekat bantuan segera dan memusnahkan infrastruktur pengurusan air dan sisa, ia akan memudahkan penyebaran penyakit yang telah hampir dihapuskan di seluruh dunia.

Atas desakan semua pihak, dan mungkin bimbang wabak berkenaan tersebar lebih luas, tentera Israel dan Hamas mencapai kata sepakat untuk melaksana tiga hari jeda kemanusiaan di tiga zon di Gaza, untuk memberi laluan program vaksin polio terhadap 640,000 kanak-kanak.

Pegawai kanan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Bagi Palestin, Rik Peeperkorn berkata, perjanjian jeda kemanusiaan itu akan berlangsung antara 6 pagi hingga 3 petang.

Kempen vaksinasi dijalankan dengan penyelarasan tentera Israel sebagai sebahagian daripada rutin jeda kemanusiaan, bagi membolehkan penduduk hadir ke pusat perubatan yang menjadi tempat pemberian vaksin.

Fasa pertama kempen vaksin polio berskala besar di Gaza berjaya dilaksanakan, dengan dos awal diberi kepada hampir 200,000 kanak-kanak di tengah wilayah Palestin, kata WHO.

WHO menganggarkan vaksin akan diperlukan untuk hampir 157,000 kanak-kanak di bawah usia 10 tahun di tengah Gaza, namun mengakui angka itu rendah kerana pergerakan penduduk ke arah tengah Gaza selain perlu meluaskan liputan ke kawasan di luar zon jeda kemanusiaan.

Lebih 500 pasukan merangkumi hampir 2,200 pekerja kesihatan dan sukarelawan mengambil bahagian dalam kempen di tengah Gaza itu, dengan vaksinasi disediakan di 143 tapak tetap di seluruh kawasan itu.

Pada masa sama, pasukan itu bergerak melawat khemah dan kawasan yang sukar dicapai, termasuk di luar zon jeda kemanusiaan yang dipersetujui.

Walaupun kempen berskala besar di tengah Gaza berakhir, WHO berkata, vaksinasi akan diteruskan di empat kemudahan kesihatan besar untuk memastikan tiada kanak-kanak ketinggalan.

Tumpuan utama ialah selatan Gaza, di mana dianggarkan 340,000 kanak-kanak akan menerima dos pertama mereka dalam tempoh empat hari kempen vaksinasi itu.

WHO berkata, kempen baharu untuk menyediakan dos kedua akan bermula dalam masa kira-kira empat minggu.

Menurut WHO, adalah penting untuk mencapai sekurang-kurangnya 90 peratus liputan bagi mengelak penularan penyakit itu dalam sempadan Gaza atau kawasan lain serta pihaknya mahu memastikan tidak akan ada kanak-kanak Gaza lain yang menghidap polio.

Lebih utama, katanya, pihaknya mahu memastikan penyebaran polio tidak sampai ke negara jiran.

Semoga bumi Palestin terus dipelihara dari sebarang malapetaka penyakit berjangkit. Cukuplah sengsara yang mereka tanggung ketika ini.

Penulis Pengarang Berita Harian Metro

© New Straits Times Press (M) Bhd