PARIT: Ahli Parlimen Parit, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib mengecam sekeras-kerasnya serangan biadab rejim Zionis Israel yang telah mengebom satu-satunya hospital khusus bagi pesakit kanser di Gaza pada 22 Mac lalu.
Menurut beliau, serangan tersebut telah mengorbankan beberapa orang pesakit dan kakitangan hospital, manakala ramai lagi cedera parah.
“Hospital ini merupakan satu-satunya pusat rawatan kanser di Gaza, dan kemusnahannya menyebabkan ramai pesakit kehilangan akses kepada rawatan yang sangat diperlukan.
“Serangan ini bukan sahaja satu tindakan keji yang melanggar prinsip asas kemanusiaan, malah ia jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan Konvensyen Geneva yang melindungi fasiliti perubatan daripada menjadi sasaran peperangan,” katanya.
Beliau turut menyifatkan serangan itu sebagai jenayah perang yang tidak boleh dibiarkan tanpa tindakan tegas, apatah lagi ia bukan kali pertama hospital di Gaza menjadi sasaran.
Dalam pada itu, Ustaz Ismi menegaskan bahawa rejim Zionis-Israel secara berterusan menunjukkan sikap tidak berperikemanusiaan dengan menindas dan membunuh rakyat Palestin tanpa sebarang rasa tanggungjawab.
“Tindakan mengebom hospital kanser ini adalah bukti nyata bahawa mereka dengan sengaja mahu menafikan hak asasi rakyat Palestin untuk mendapatkan rawatan kesihatan, sekali gus menghapuskan peluang mereka untuk terus hidup secara normal,” ujarnya.
Beliau mencadangkan agar Kerajaan Malaysia mendesak komuniti antarabangsa, terutamanya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), segera mengheret pemimpin Zionis terutamanya Benjamin Netanyahu ke muka pengadilan atas jenayah kemanusiaan yang dia lakukan.
“Dunia tidak boleh berdiam diri dan membiarkan rejim ini terus melakukan pembunuhan beramai-ramai tanpa sebarang hukuman.
“Hakikatnya, Palestin telah diterima sebagai negara ahli ICC sejak tahun 2015 dan berhak memohon keadilan dilaksanakan atas jenayah yang dilakukan terhadap negara mereka.
“Dalam masa yang sama, saya menggesa negara-negara Islam yang masih mengekalkan hubungan diplomatik dengan Israel agar segera membatalkan hubungan ini sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin yang terus dizalimi,” ujarnya.
Justeru, Ustaz Ismi turut mengingatkan bahawa mana-mana negara yang meneruskan hubungan dengan rejim Zionis harus sedar bahawa mereka bersubahat dengan penjenayah perang yang tidak memiliki nilai kemanusiaan.
Selain itu, beliau turut menekankan bahawa usaha membangunkan semula hospital yang musnah itu mesti dijadikan keutamaan oleh negara-negara Islam dan masyarakat antarabangsa.
“Bantuan kemanusiaan dan perubatan harus segera disalurkan bagi memastikan pesakit yang kehilangan akses kepada rawatan kritikal dapat menerima bantuan yang sewajarnya. Gaza tidak boleh dibiarkan tanpa fasiliti kesihatan yang mencukupi untuk menampung keperluan rakyatnya.
“Saya menyeru rakyat Malaysia dan seluruh umat Islam agar terus memberikan sokongan padu kepada perjuangan Palestin serta mendesak negara-negara Islam dan badan antarabangsa mengambil tindakan tegas terhadap Israel.
“Kita wajib memastikan bahawa kezaliman ini tidak berterusan tanpa sebarang tindakan,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 27/03/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!