
HUKUM mengerjakan umrah adalah wajib sekali seumur hidup menurut Mazhab Syafie. Foto CANVA/Gambar kecil: DR SYED MOHD JEFFRI
SOALAN:
Saya lihat ada Muslim sering ke Tanah Haram untuk mengerjakan umrah. Jadi apakah ibadah ini boleh dilakukan setiap tahun?
JAWAPAN:
Ibadah umrah memang digalakkan untuk dikerjakan kepada sesiapa yang mempunyai kelapangan dan kewangan yang stabil.
Dalam sebuah hadis Qudsi, ALLAH SWT berfirman: “Seorang hamba yang AKU sihatkan tubuhnya dan AKU luaskan hartanya, berlalu ke atasnya lima tahun namun tidak datang kepada-KU (ibadah haji atau umrah), maka dia terhalang daripada mendapat kebaikan.” (Hadis Riwayat Abu Ya’la dan Ibnu Hibban)
Berdasarkan hadis ini, dituntut untuk melakukan umrah selang lima tahun sekali sekiranya berkemampuan.
Satu lagi hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Ibadah umrah ke umrah berikutnya adalah kaffarah (penghapusan dosa) antara kedua-duanya. Haji yang mabrur, tiada balasan (bagi pelakunya) melainkan syurga.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Maka jika ada rezeki lebih dan ada kelapangan waktu, tunaikanlah umrah kerana ia sangat digalakkan.