SYDNEY: Kemunculan beratus-ratus bola misteri seperti tar hitam yang terdampar di pantai Sydney yang popular dalam kalangan pengunjung menyebabkan ia ditutup dan melarang sebarang aktiviti berenang di kawasan itu.
Datuk Bandar tempatan, Dylan Parker dalam catatan media sosialnya berkata, “Serpihan misteri, hitam, berbentuk bola mula muncul di Pantai Coogee pada petang Selasa (15 Oktober), membuatkan pihak berkuasa kebingungan dalam menentukan apakah ia, dan dari mana kesemuanya itu berasal.
“Sehubungan itu, Pantai Coogee ditutup sehingga diberitahu kelak”
Beratus-ratus sfera bersaiz bola golf hingga bola kriket kelihatan bersepah di sepanjang pasir pantai, yang biasanya dipenuhi penduduk Sydney dan pelancong.
Sebaliknya, beberapa burung camar berkeliaran di antara bebola hitam berkenaan dilihat memeriksa dan mematuknya
“Pada peringkat ini, tidak diketahui bahannya, bagaimanapun, ia mungkin ‘bola tar’ yang terbentuk apabila minyak bersentuhan dengan serpihan dan air, biasanya hasil daripada tumpahan minyak atau resapan,” jelasnya.
Pantai itu kekal ditutup pada pagi Rabu walaupun terdapat usaha pembersihan semalaman, namun Pantai lain yang berdekatan sedang dipantau tetapi tetap dibuka.
“Pengunjung pantai dinasihatkan untuk mengelakkan Pantai Coogee sehingga diberitahu kelak dan tidak menyentuh bahan, sementara pembersihan dan penyiasatan diteruskan” kata Parker. -Agensi/– HARAKAHDAILY 16/10/2024