kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Peningkatan jumlah transaksi Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL) di Malaysia mencetuskan kebimbangan apabila ia sudah menjadi sebahagian daripada budaya berbelanja masyarakat, terutama golongan muda.
Penasihat kewangan, Dr Azizul Azli Ahmad berkata, jumlah transaksi BNPL yang mencecah RM12 bilion pada 2024 boleh disamakan dengan kos membina 24 hospital negeri, sekali gus menunjukkan betapa besarnya angka hutang yang terkumpul dalam tempoh setahun.
Katanya, kebanyakan pengguna BNPL berbelanja ke atas barangan bukan keperluan, seperti gajet, fesyen dan percutian yang menjadikannya sebagai sebahagian daripada gaya hidup.
“Kita perlu bimbang kerana BNPL kini menjadi satu kebiasaan yang tidak sihat.
“Hutang yang dianggap selamat biasanya sekitar lima hingga 10 peratus daripada pendapatan, tetapi jika sudah mencecah 20 hingga 30 peratus, itu sudah menjadi beban berisiko,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai perlu faham konsep hutang baik dan hutang buruk kerana BNPL lebih banyak mendorong pengguna membeli sesuatu tidak berfaedah, terutama dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Menurutnya, Malaysia bukan satu-satunya negara yang berdepan dengan peningkatan hutang BNPL kerana negara maju seperti Amerika Syarikat mencatatkan 46 peratus rakyatnya mempunyai hutang BNPL, diikuti United Kingdom (41 peratus) dan Australia (30 peratus).
“Walaupun BNPL memberi kemudahan kepada ramai orang, ia tidak sesuai digunakan oleh semua lapisan masyarakat.
“Antara golongan yang dianggap layak menggunakan BNPL ialah mereka yang mempunyai pendapatan stabil, usahawan yang bijak menguruskan kewangan dan individu yang berdisiplin dalam berbelanja,” katanya.
Azizul berkata, walaupun ada yang layak, tetap terdapat risiko terlebih belanja kerana BNPL membuatkan pembeli rasa mampu memiliki sesuatu walaupun hakikatnya ia adalah hutang.
Menurutnya, ramai pengguna salah faham bahawa BNPL seperti ‘duit percuma’, kerana tidak perlu jaminan atau dokumentasi seperti pinjaman konvensional.
“Namun, ia boleh memberi kesan kepada aliran tunai pengguna dalam jangka panjang, mungkin nampak kecil, contohnya RM15 sebulan, tetapi jika berterusan, ia boleh menjadi beban yang lebih besar,” katanya.
Katanya, BNPL kini bukan sekadar keperluan tetapi sudah menjadi sebahagian gaya hidup generasi muda dan secara psikologi, pengguna BNPL merasa aman kerana tidak perlu mengeluarkan wang sekali gus, sedangkan sebenarnya mereka sedang berhutang.
Namun, beliau berkata BNPL juga boleh menjadi satu keperluan bagi sesetengah golongan yang benar-benar memerlukan barangan tertentu, seperti komputer riba untuk bekerja atau belajar.
“BNPL ini boleh jadi satu alat yang membantu, tetapi jika digunakan tanpa kawalan, ia boleh menjadi perangkap kewangan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd