BNM kenakan AmBank kompaun RM875,000

BNM kenakan AmBank kompaun RM875,000

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) mengenakan kompaun berjumlah RM875,000 terhadap AmBank (M) Berhad (AmBank) kerana gagal mematuhi Arahan kepada Institusi Kewangan, yang dikeluarkan menurut seksyen 214(6) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (APK 2013).

BNM menerusi kenyataan berkata, AmBank gagal mendapatkan kelulusan BNM sebelum menjalankan dua urus niaga pelaburan dalam aset mata wang asing untuk individu pemastautin yang mempunyai pinjaman domestik dalam ringgit.

Katanya, tindakan ini sudah melanggar seksyen 214(6) APK 2013 dan di bawah Arahan Kepada Institusi Kewangan Berhubung Dasar Pertukaran Asing, institusi kewangan dikehendaki mempunyai dan melaksanakan kawalan dalaman serta prosedur untuk memastikan pematuhan oleh institusi kewangan dan pelanggan mereka dengan mana-mana arahan, kelulusan, keperluan, sekatan dan syarat yang dikeluarkan oleh BNM di bawah seksyen 214 APK 2013.

“Hal ini termasuk mendapatkan kelulusan bertulis daripada BNM sebelum memudahkan atau melaksanakan apa-apa urus niaga yang memerlukan kelulusan terbabit.

“Ketidakpatuhan ini berpunca daripada kelemahan yang dikenal pasti dalam dasar dan prosedur dalaman AmBank dan AmBank mengambil langkah yang sewajarnya untuk memperkukuhkan amalan dan prosedur dalaman berhubung dengan dasar pertukaran asing,” kata BNM.

BNM berkata, langkah itu termasuk memberikan latihan yang sesuai kepada kakitangan dan menambah baik aliran maklumat dalaman untuk memastikan pematuhan undang-undang dan peraturan domestik yang terpakai.

Selain itu, dalam membuat keputusan untuk mengenakan kompaun, BNM mempertimbangkan faktor penyebab dan pengurangan yang relevan, termasuk fakta kes di atas serta rekod ketidakpatuhan AmBank sebelum ini.

AmBank juga membayar kompaun berjumlah RM875,000 yang dikenakan pada 6 Disember lalu dan tindakan penguatkuasaan yang diambil adalah selaras dengan pendekatan dan proses yang digariskan dalam dokumen Pendekatan Penguatkuasaan.

BNM ingin menegaskan institusi kewangan dan orang ramai dikehendaki memastikan pematuhan dengan peraturan Dasar Pertukaran Asing yang relevan apabila menjalankan urus niaga sedemikian, termasuk mendapatkan kelulusan bertulis dari BNM, jika berkenaan.

Selain itu, institusi kewangan diingatkan untuk menasihati pelanggan dengan sewajarnya mengenai keperluan ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top