BMS 2024: Bermodalkan RM50, tidak sangka terpilih Cabutan Siri WOW!

BMS 2024: Bermodalkan RM50, tidak sangka terpilih Cabutan Siri WOW!

PETALING JAYA – Seorang guru tidak pernah menyangka usahanya melakukan tabungan pendidikan anak-anak bermula 2018 menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) membuahkan hasil apabila terpilih sebagai pemenang Cabutan Siri WOW! Merdeka.

Menurut Cik Rosmawati Mansor, 45, dengan bermodalkan hanya RM50, dia sekeluarga boleh senyum lebar apabila usaha menambung hampir tujuh tahun lalu berbaloi apabila terpilih mendapat hadiah lumayan wang tunai berjumlah RM10,000 dalam kempen Cabutan WOW! Simpan SSPN 2024, hari ini.

“Sebelum ini saya memang ada menyimpan tetapi dengan adanya SSPN, saya terus masuk simpanan demi masa depan anak terutama dalam bidang pendidikan.

“Perasaan syukur Alhamdulillah berterima kasih kepada ibu saya, rezeki untuk anak saya, Alhamdulillah. Program BMS 2024 memang bagus, untuk masa depan anak-anak.

“Saya menggalakkan ibu bapa lain untuk menabung dan bukan akaun dalam Simpan SSPN demi masa depan anak-anak kita,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penutupan Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2024 di Paradigm Mall, di sini, hari ini.

Selain cabutan bertuah, BMS 2024 turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik seperti Pertandingan Mewarna Simpan SSPN, Simpan SSPN Got Talent, Pakaian Beragam Simpan SSPN, Jenga Family Competition Simpan SSPN, penampilan khas P&T Simpan SSPN, penampilan khas Didi & Friends, Snap & Win dan Happy Hour dan selebriti jemputan.

Ibu, Nurul Artiqah Mohd Fadzil bergambar bersama anaknya yang merupakan pemenang Pertandingan Simpan SSPN Got Talent pada Majlis Penutup Bulan Menabung Simpan (BMS) SSPN 2024 di Paradigm Mall, Petaling Jaya. Foto SADIQ SANI, 26 OKTOBER 2024

Bagi Nurul Artiqah Mohd Fadzil, 29, dari Kg Nakhoda, Batu Caves, dia dan suami tidak menyangka anak perempuannya terpilih sebagai juara dalam Pertandingan Simpan SSPN Got Talent hari ini.

“Kami sendiri tidak menyangka anak kami menang hingga ke tahap ini. Persiapan kami tiga hari selepas diberitahu guru untuk aktiviti ini. Anak saya sendiri pilih menyanyi sebab itu minat dari umur lima tahun.

“Program ini bagus untuk mencungkil bakat murid sekolah tujuh hingga 12 tahun, kita boleh tengok sejauh mana anak-anak murid sekolah,” katanya sambil memberitahu dia akan membuka akaun Simpan SSPN sebaik sahaja menerima hadiah kemenangan itu.

Pengunjung, Suzana Md Razi bercakap ketika ditemubual selepas menghadiri Majlis Penutup Bulan Menabung Simpan (BMS) SSPN 2024 di Paradigm Mall, Petaling Jaya. Foto SADIQ SANI, 26 OKTOBER 2024

Sementara itu, Suzana Md Razi, 43, dari Subang Jaya berkata, dia mengakui baru terdetik untuk membuka akaun Simpan SSPN untuk empat anaknya sebaik sahaja membaca risalah mengenai penganjuran BMS 2024.

“Ini kali pertama saya hadir program BMS 2024. Saya dapat tahu daripada risalah PTPTN dan dapat email, kemudian terus datang untuk daftar untuk keempat-empat anak saya dari lapan bulan sampai 10 tahun.

“Senang untuk masa depan mereka, bermula RM30 mungkin sebulan dua ini akan tingkatkan nilai tabungan,” katanya.

Pengunjung, Nur Shahirah Yosman bercakap ketika ditemubual selepas menghadiri Majlis Penutup Bulan Menabung Simpan (BMS) SSPN 2024 di Paradigm Mall, Petaling Jaya. Foto SADIQ SANI, 26 OKTOBER 2024

Manakala bagi seorang pengunjung lagi, Nur Shahirah Yosman, 37, dari Bangsar, kehadiran dia sekeluarga semata-mata untuk membuka akaun Simpan SSPN untuk anak-anaknya sebaiknya dimaklumkan penganjuran BMS 2024 menerusi aplikasi PTPTN.

“Kami datang sini memang nak buka akaun anak-anak dari aplikasi. Buka akaun untuk keempat-empat anak dengan pakej RM30.

“Kira amaun yang mampu untuk masa datang, sebab itu buat dari sekarang. Simpanan untuk anak SSPN Plus, lagi mudah sebab ada auto debit setiap bulan, senang sikit,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Scroll to Top