Black bina villa di Langkawi tanpa hutang

Black bina villa di Langkawi tanpa hutang

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Penyanyi Black Hanifah, 37, tidak mengendahkan cakap-cakap yang merendahkan usahanya membina empayar perniagaan di Langkawi Kedah.

Black yang menguruskan villa berkata, dia tidak mahu mengambil peduli dan menyerahkan kepada Allah untuk membalas perbuatan itu.

“Saya tak naklah cakap apa-apa. Kalau mereka mendoakan saya yang tak baik satu tudingan itu, empat lagi kepada dia sendiri.

“Dan saya yakin kalau ada usaha, kalau kita rajin menabung, menyimpan, itulah dia kunci untuk kita berjaya.

“Saya buat villa saya tanpa hutang, semua cash (tunai). Saya tiada hutang dengan mana-mana bank atau apa,” katanya ditemui pada majlis Iftar bersama Nova Music, 17Eleven dan Future Music Entertainment di GlamHall, di sini, malam tadi.

Black atau pemilik nama Hanifah Muhammad Hanafiah kini tampil dengan single berjudul Hijab Rindu berkata, pendekatan ini diambil kerana tidak mahu orang bercakap buruk berkenaan dirinya.

“Saya risau… ada harta tapi pinjam bank (untuk bina villa), alah kereta pun pinjam bank. Tidak… tidak bisnes ini adalah hasil tabungan, hasil simpanan, hasil saya jual rumah dan saya mampu.

“Insya-Allah kita ada perancangan, kita ada satu lagi tempat yang kita dah ambil dekat atas bukit. Dia mengadap laut nampak pulau-pulau kecil.

“Tempat itu boleh… insya Allah,” katanya. Ditanya berkenaan sambutan Hari Raya pula, Black berkata, dia akan pulang ke Langkawi seminggu sebelum ketibaan Aidilfitri.

“Kami akan sambut raya di Langkawi. Satu, sebab kerja. Sebab bisnes di sana penuh orang booking untuk raya.

“Kita rasa macam ramai keluarga di sana. Seronok orang ramai,” katanya.

Sempena Aidilfitri kali ini, Black tampil dengan lagu Hari Raya terbaru berjudul Syawal Rindu bergandingan dengan Adira terbitan Nova Music.

“Dah hampir 10 tahun saya tiada lagu raya solo. Tahun ini saya dipanggil oleh Nova Music. Mereka hasilkan lagu single Hijab Rindu dan lagu raya secara berduet.

“Cuma awalnya saya tak tahu duet dengan siapa. Saya beritahu nak dengan Amir Masdi, kerana kami satu label. Tiba-tiba diberitahu dengan Adira.

“Memandangkan kenal Adira tahun 2009 tapi tak pernah satu pentas atau show bersama, saya cakap okay dan kemudian kami terus pilih lagu. Semua pihak okey dan selepas itu kami rakam berasingan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top