KETUA Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio melahirkan rasa bangga dengan komitmen ditunjukkan barisan pemainnya selepas berjaya mencatat kemenangan dalam perlawanan di Stadium Negeri, Kuching pada Rabu.
Menurut pengendali dari Argentina itu, meskipun perlawanan tersebut berlangsung dalam suasana mencabar, pemain Harimau Selatan tetap mempamerkan persembahan cemerlang sehingga ke wisel penamat.
“Saya sangat bangga dengan skuad JDT kerana mereka beraksi begitu baik malam ini dan sepanjang musim yang panjang serta sukar ini.
“Saya ingin ucapkan tahniah kepada semua pemain serta staf kejurulatihan yang banyak membantu musim ini,” katanya ketika sidang media selepas perlawanan.
Dua gol bermula dengan jaringan sepakan penalti Bergson da Silva minit kelima diikuti sentuhan Romel Morales sudah membolehkan JDT membawa pulang dua mata dari Kepulauan Borneo.
Sebagai rekod, perlawanan sebelum ini Kuching City tunduk 1-2 kepada JDT di Stadium Sultan Ibrahim Iskandar Puteri pada 27 September lalu.
Kemenangan di Kuching menyaksikan JDT mengumpul 70 mata hasil 23 menang, satu seri selepas mengharungi 24 perlawanan untuk kejuaraan ke-11 Liga Super berturut-turut.

Dua gol membolehkan JDT membawa pulang dua mata dari Kepulauan Borneo.
Sumber: Johor Southern Tigers.
Pada masa sama, Bidoglio merakamkan penghargaan kepada pemilik kelab, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Pengarah Sukan JDT, Chow Erwos atas kepercayaan diberikan kepadanya.
“Kita tahu JDT adalah kelab besar yang terus berkembang setiap hari. Kita perlu terus mencuba, bekerja keras dan memberikan yang terbaik untuk kelab ini.
“Kemenangan ini sangat penting, namun fokus kini beralih kepada perlawanan seterusnya,” ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai taktikal diterapkan, Bidoglio menjelaskan pasukannya cuba mengekalkan kawalan permainan dengan menggerakkan bola dari bahagian tepi ke tepi bagi membuka ruang terbaik mencipta jaringan.
“Pada separuh masa pertama, kami berjaya mengawal permainan dan mengatur gerakan. Separuh masa kedua agak mencabar kerana keadaan padang sedikit lembut, tetapi pemain tetap menunjukkan kesungguhan 100 peratus dan saya berpuas hati dengan usaha mereka,” katanya.
Ditanya mengenai perancangan menjelang aksi terakhir musim ini, Bidoglio berkata pihaknya masih mempertimbangkan untuk merehatkan beberapa pemain, namun prestasi semasa semua pemain berada di tahap terbaik.
“Ini adalah aksi terakhir kami di sini, namun masih ada satu lagi perlawanan penting. Kami juga ada bercadang menukar beberapa pemain, tetapi semua pemain menunjukkan prestasi sangat baik dan mahu beraksi,” tambahnya.
Bidoglio menegaskan, skuad Harimau Selatan akan terus fokus dan kerja keras dalam sesi latihan sepanjang minggu ini.
Ujarnya, ia bagi memastikan pasukan berkenaan berada di tahap terbaik menjelang perlawanan terakhir musim ini.
INFO
JDT labuh tirai Liga Super tanpa tewas
Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi mencatatkan rekod yang membanggakan dalam kancah Liga Super apabila menamatkan kempen musim ini tanpa sebarang kekalahan. Kejayaan ini menjadikan Harimau Selatan sebagai satu-satunya pasukan yang berjaya melakukannya sebanyak lima kali dalam sejarah liga – 2016, 2020, 2022, 2023 dan 2024-25.