'Besarnya jiwa negarawan ulung'

'Besarnya jiwa negarawan ulung'

Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi bukan sekadar pemimpin, sebaliknya insan berjiwa besar yang menerapkan naratif baharu dalam politik kekuasaan di Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi hantaran di laman Facebook, kelmarin, Anwar berkata, beliau menerima berita yang amat menyentak jiwa apabila Abdullah yang juga sahabatnya kembali menemui Ilahi.

“Masih segar di ingatan tatkala kali terakhir menziarahi beliau yang berada dalam keadaan yang sangat uzur, lantas meruntun jiwa yang hiba. Namun saat tangan kami bersentuhan, matanya yang kabur masih memancarkan sinar kasih dan sikap damai yang tidak pernah padam.

“Dalam derapan langkah politik yang sering gawat dan menyesakkan, Pak Lah sentiasa menjadi pihak yang menenangkan.

“Beliau menerima saya dengan penuh adab dan ihsan, meski kami pernah berada di medan politik yang bertentangan. Itulah betapa besarnya jiwa seorang negarawan ulung,” katanya.

Anwar berkata, Abdullah yang lebih dikenali sebagai Pak Lah menerapkan pendekatan Islam Hadhari, sekali gus menjambatani antara aspek kemajuan dan pembangunan dengan nilai sewaktu menerapkan pendekatan Islam Hadhari.

Menurutnya, di bawah kepemimpinan Abdullah, negara menyaksikan reformasi dalam bidang kehakiman, ketelusan dalam pentadbiran dan pemerkasaan pelbagai institusi.

“Beliau merupakan susuk yang memerdekakan suara rakyat melalui pembukaan ruang media dan penyertaan awam. Pentadbiran beliau berpaksi pada Rancangan Malaysia Kesembilan yang memacu pertumbuhan ekonomi serta memfokuskan pembangunan insan dan
di pedesaan.

“Namun lebih daripada segala pencapaian itu, Pak Lah mengajarkan kita erti kemanusiaan dalam kepemimpinan,” katanya.

Anwar juga mengimbau kenangan bersama Abdullah yang memimpin negara dengan wajah yang tidak marah, tangan yang tidak menggenggam kuasa dan suara yang tidak meninggi, meski diasak bertubi-tubi.

“Saya masih ingat sewaktu saya sendiri bergelut dalam episod hidup yang gelap dan derita, beliau tidak pernah menambah luka dengan kata-kata nista. Itulah peribadi Pak Lah yang sentiasa memilih damai meski mudah untuk membalas,” katanya.

Anwar turut mengucapkan takziah kepada isteri Allahyarham, Tun Jeanne Abdullah dan keluarga, serta memaklumkan seluruh negara turut bersedih di atas kehilangan seorang negarawan yang membumi.

“Malaysia terhutang budi kepada jasa dan budi bicaramu. Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam
kalangan para solihin, diampunkan segala dosanya dan dikurniakan ganjaran syurga atas segala kebajikan yang telah ditabur sepanjang hayat beliau,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top