Bertandinglah dengan semangat kekeluargaan – Fadhlina

Bertandinglah dengan semangat kekeluargaan – Fadhlina

mdroji@bh.com.my

Kuching: Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek mahu pemilihan pimpinan parti itu yang akan diadakan pada 24 Mei, bermula dengan pemilihan peringkat bahagian dari 11 hingga 20 April depan berlangsung dengan semangat kekeluargaan.

Fadhlina yang mengesahkan akan mempertahankan jawatannya berkata, beliau bersedia menghadapi cabaran kerana ia proses demokrasi yang perlu dilalui.

Beliau turut mengingatkan mereka yang akan bertanding, agar bertekad untuk memberikan khidmat terbaik untuk parti.

“Bagi saya sendiri, yang ingin saya tawarkan ialah kerja keras dan menjunjung aspirasi parti.

“Saya juga akan memastikan wanita menjadi suara terkuat dalam parti dan memastikan isu serta perjuangan parti dapat diteruskan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa PKR Sarawak, di sini, hari ini.

Pada pemilihan parti akan datang, Fadhlina akan dicabar semula oleh Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail.

Pada pemilihan PKR 2022, Fadhlina menewaskan Rodziah dengan majoriti 32 undi.

“Setakat ini, saya difahamkan hanya seorang (Rodziah) akan mencabar saya,” katanya.

Mengenai hasrat PKR Sarawak untuk mencabar Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada pilihan raya negeri Sarawak akan datang, Fadhlina berkata, perkara itu masih dalam perbincangan.

“Sekarang perbincangan kita sentiasa kepada usaha pengukuhan Kerajaan Perpaduan.

“Apa-apa keputusan harus berteraskan keoada mengukuhkan terus hubungan Persekutuan dengan negeri dan memastikan Kerajaan Perpaduan terus kekal sehingga penggal akan datang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top