Bersih masjid selepas banjir

Bersih masjid selepas banjir

am@hmetro.com.my

Pasir Mas: “Akhirnya ada pihak sudi datang membantu membersihkan masjid di kampung kami yang dilanda banjir separas hampir tiga meter, terima kasih pihak DRB-HICOM ‘mewarnai’ semula Rumah Allah ini,” kata Imam Masjid Kampung Bongor, Mohd Zain Abdullah.

Mohd Zain berkata, masjid itu mengalami kerosakan teruk selepas bahagian dalam turut dimasuki air pada bah yang melanda hujung November lalu menyebabkan pelbagai barangan rosak seperti karpet, almari, rak, dan al-Quran.

Katanya, pihaknya berbesar hati menerima kunjungan kumpulan DRB-HICOM yang sudi turun padang membantu membersihkan masjid berkenaan selain menyampaikan sumbangan peralatan mencuci serta mengecat.

“Tambahan pula, penempa tan kami agak jauh di pendalaman, jadi jarang sekali menjadi tumpuan untuk dibantu walaupun masjid ini dijadikan tempat Solat Jumaat yang boleh memuatkan hampir 500 jemaah dalam satu masa.

“Sebelum ini, hanya penduduk kampung bergotong-royong membersihkan masjid selepas dinaiki air hampir seminggu, tetapi kali ini DRB-HICOM datang dengan siap membawa jentera bomba, jadi seluruh kawasan serta bahagian dalam menjadi lebih bersih.

“Selain itu, kedatangan pihak DRB-HICOM turut memberi kelegaan kepada penduduk yang pastinya dapat beribadah dan menunaikan solat Tarawih dengan lebih selesa memandangkan Ramadan juga bakal tiba tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui selepas turut sama membersihkan Masjid Mukim Kampung Bongor di sini, semalam.

Penduduk, Yahya Hussin, 51, berkata program berbentuk gotong-royong itu amat dialu-alukan memandangkan penempatan terbabit teruk dilanda banjir

Jelasnya, penduduk kampung dapat membantu setakat yang termampu memandangkan kediaman masing-masing juga teruk malah ada yang hanya tinggal bumbung akibat ditenggelami banjir tempoh hari.

Masjid Mukim Kampung Bongor di sini, menjadi antara salah sebuah daripada empat lokasi pilihan DRB-HICOM untuk Program Misi Bantuan Pasca Banjir DRB-HICOM di jajahan Pasir Mas dan Tumpat.

Tiga lagi masjid yang dipilih untuk misi berkenaan ialah Madrasah Bongor, Masjid Iktikaf Al- Ehsan di Lubok Jong, di sini dan Surau Maahad Nurul Huda di Kampung Kajang Sebidang, Tumpat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Komunikasi, DRB-HICOM Berhad, Cairil Irwan Mohd Amir Sharifuddin, berkata program berkenaan dicetuskan susulan pelaksanaan Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Kembali Ke Sekolah DRB-HICOM.

Katanya, TKHM Kembali Ke Sekolah DRB-HICOM tempoh hari, memberi idea kepada pihaknya untuk meneruskan lagi program kebajikan sejajar dengan konsep ‘memberi semula kepada komuniti’ yang menjadi sebahagian daripada budaya korporat pihaknya.

“Misi bantuan pasca banjir ini turut mendapat kerjasama Pos Malaysia, Isuzu Hicom, Kelab Dmax dan badan bukan kerajaan (NGO) Dana Kita serta Bomba Sukarelawan Gombak.

“Selain membantu membersihkan madrasah dan masjid, pihak kami turut menyampaikan sumbangan water jet dan cat untuk komuniti setempat gunakan bagi membersih serta mengecat semula bahagian masjid yang mungkin terkesan akibat bencana banjir.

“Kali ini kami memilih lokasi yang paling teruk terjejas banjir dengan bantuan NGO Dana Kita yang membantu mencari lokasi sesuai untuk kami menjayakan aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR)  di Kelantan,” katanya.

Jelasnya, DRB-HICOM akan meneruskan lagi program CSR pada masa akan datang di seluruh negara bergantung kepada keadaan semasa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top