Berpelukan dengan Kak KM, Saiful Apek akui khilaf

Berpelukan dengan Kak KM, Saiful Apek akui khilaf

KUALA LUMPUR : Anggota kumpulan Senario, Saiful Apek, 56, memohon maaf atas kekhilafannya berpelukan dengan usahawan sensasi, Kak KM dalam sebuah acara yang mana video tersebut telah menjadi tular di media sosial baru-baru ini.

Pernohonan maaf itu telah dilakukan Saiful ketika terlibat menjayakan satu program temu bual dengan Komuniti Dakwah Tarbiah di Tiktok, semalam.

Menerusinya, Saiful juga mengakui mengambil tanggungjawab penuh atas kesilapannya itu.

“Maaf, saya salah. Saya tahu saya salah. Kalau kata saya terlibat dengan sesuatu yang cenderung kepada perkara negatif, saya harus bertanggungjawab.

“Tidak ada kaedah untuk saya memanipulasikan atau menuding jari. Salah tetap salah. Saya akui, yang buruk datang daripada kita dan yang baik datang daripada Allah SWT.

“Saya yang pikul tanggungjawab itu untuk memperbaiki diri saya. Saya juga manusia yang tidak lari dari kesilapan,”katanya.

Dalam masa yang sama, pelawak tersebut sedar akan kekhilafan yang telah dilakukannya.

“Kita akan sentiasa diuji dan takkan terlepas daripada sifat lalai dan khilaf.

“Paling penting untuk kita muhasabah diri ada empat intipati. Yang pertama menyedari, kemudian menyesali, yang ketiga mengakui dan memperbaiki.

Jadi saya dengan setulus hati, mengakui apa sahaja kesilapan yang berlaku dan sedang tular sekarang ini adalah khilaf yang datang daripada diri saya sendiri,”katanya.

Sementara itu, Saiful berharap semua pihak tidak lagi mengaitkan isu berkenaan dengan keluarga dan rakan-rakannya.

“Jika ditegur dengan kasih sayang, saya terima dengan berlapang dada. Saya harap kalau boleh hal ini jangan ditempiaskan lagi kepada keluarga saya dan rakan-rakan seperjuangan saya.

“Apa yang saya katakan bukanlah untuk menegakkan benang yang basah atau mempertahankan diri kerana salah tetap salah,”katanya.

Terdahulu, tular sebuah video yang memaparkan Apek dilihat berpelukan dengan Kak KM dalam sebuah acara yang berlangsung baru-baru ini.

Tindakan tersebut telah menyebabkan mereka dihujani dengan kecaman warganet dan mendapat perhatian pendakwah bebas, PU Syed yang turut menegur tentang batas pergaulan bukan mahram.

Scroll to Top