Keakraban antara pelakon terkenal, Fattah Amin, dan penyanyi bersuara merdu, Amira Othman, terus menjadi perbualan hangat di media sosial.
Ramai peminat seakan merestui hubungan mereka yang kelihatan semakin rapat.
Terbaharu, sekeping foto yang memaparkan Amira bersama ibu Fattah, Azizah, tular dan mencuri perhatian ramai.
Dalam gambar tersebut, Amira dilihat mesra memeluk Azizah dari belakang, mencerminkan hubungan akrab mereka.
Lebih menarik, Amira dan ibu Fattah tampil sedondon dalam persalinan jubah berona biru, sekali gus membuatkan peminat semakin teruja.
Meninjau ke ruangan komen, ramai netizen meluahkan rasa gembira dan berharap agar Fattah dan Amira segera disatukan sebagai pasangan sejati.
Sebelum ini, hantaran Amira di Instagram menarik tumpuan ramai apabila Fattah meninggalkan komen lima emoji hati biru.
Komen tersebut mencecah lebih 8,000 tanda suka dan ratusan balas daripada peminat yang teruja dengan keberanian Fattah tanpa berselindung seakan menunjukkan kemesraan mereka.
Namun, Fattah dan Amira pernah menegaskan bahawa hubungan mereka tidak lebih daripada sekadar rakan sekerja.