Berpada-pada komen rumah tangga orang – Nora

Berpada-pada komen rumah tangga orang – Nora

KUALA LUMPUR – Kontroversi rumah tangga pelakon Puteri Sarah Liyana dan Syamsul Yusof kini masih rancak menjadi perdebatan serta perbualan hangat dalam kalangan netizen.

Namun bagi penyanyi, Datuk Nora Ariffin, dia berharap masyarakat tidak meninggalkan komen jelik berhubung masalah dihadapi pasangan berkenaan dan berhati-hati menjaga percakapan.

Nora atau Wan Norafizah Wan Ariffin, 49,  bimbang sekiranya keghairahan warganet meninggalkan komen yang tidak berpuas hati mengenai poligami, ia akan memakan diri mereka sendiri.

“Hati-hati… Dalam kita seronok mengata, menghina, melabel orang lain sebab takut tanpa kita sedar, kita jugalah adalah produk hasil perkahwinan poligami yang diamalkan zaman dulu-dulu lagi.

“Kemungkinan ibu kita atau kita juga adalah hasil daripada perkahwinan dari isteri kedua, ketiga atau keempat. Kita tak tahu juga kan?” soalnya.

Nora berkongsi mengenai perkara itu menerusi Instagram miliknya.

Sementara itu, Nora berkata, perasaan marah atau tidak puas hati terhadap poligami itu adalah perkara biasa namun perlu berhati-hati agar tidak menghina keluarga sendiri.

“Sanggupkah kita menghina ibu kita sendiri, mentua kita atau nenek moyang kita dengan panggilan penyondol, perampas dan sebagainya?

“Beremosi sikit-sikit okay, geram, marah, tak suka itu fitrah tapi biarlah berpada-pada,” ujarnya. – MalaysiaGazette