Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 55)
ABDUL Razak mengeluarkan daripada Zaid bin Aslam, katanya: Al-Abbas bin Abdul Muttalib mempunyai rumah di tepi Masjid Nabawi.
Advertisement
Umar berkata kepadanya: ‘Jualkan rumah itu kepadaku’
Umar bermaksud meluaskan Masjid Nabawi. Al-Abbas enggan menjualkannya.
Umar berkata: ‘Beri kepada aku lah’. Al-Abbas enggan juga.
Umar berkata:’ Engkau sendirilah yang luaskan masjid itu.’ Al-Abbas tetap enggan.
Umar berkata: ‘Tak dapat tidak, engkau mesti buat salah-satunya.’ Al-Abbas masih enggan.
Umar berkata: ‘Ambil seorang menjadi hakim antaraku dan antaramu.’
Ubai bin Kaab dilantik menjadi hakim. Kedua-duanya berhujah di depannya.
Ubai berkata kepada Umar: ‘Aku tidak nampak kamu boleh halaunya dari rumahnya hingga dia redha.’
Umar berkata: ‘Adakah engkau rasa hukumanmu ini dari kitab Allah yang engkau temui atau Sunnah dari Rasulullah SAW?
Ubai berkata: ‘Bahkan dari sunnah Rasulullah SAW.’
Umar bertanya: ‘Apa itu?’
Ubai berkata: ‘Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: ‘Sesungguhnya Sulaiman bin Daud as, tatkala beliau membina Bait al-Maqdis, setiap kali beliau mahu membina dinding, ia runtuh. Allah mewahyukan kepadanya: ‘Engkau jangan bina di kawasan hak orang lain hingga dia redha.’
Umar tak jadi memaksa Al-Abbas. Akhirnya, Al-Abbas sendiri yang meluaskan masjid itu.
(HayatusSahabah, Al-Kandahlawi 2/94)
Kita boleh belajar dari kisah ini beberapa perkara:
1- Seorang pemimpin berhak berbuat sesuatu untuk kepentingan umum, dengan mengenepikan kepentingan peribadi seseorang. Ini sesuai dengan kaedah ‘kepentingan umum didahulukan dari kepentingan peribadi’
2- Pemimpin boleh menggunakan beberapa cara bagi mengambil balik tanah untuk meluaskan masjid. Mungkin dengan beli, pemberian atau lain-lain. Yang penting, tuan tanah jangan dizalimi.
3- Jika ada kes yang tak dapat diselesaikan secara baik, ia boleh dirujuk ke mahkamah dan diadili di sana.
4- Hakim mahkamah sepatutnya menjatuhkan hukuman berdasarkan al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qias sebelum mengambil sumber-sumber yang lain. Perkara ini menjadi cabaran kini dalam sistem perundangan yang ada.
5- Apabila dinding, bumbung, dan apa-apa struktur bangunan mudah rosak, tidak menjadi, ia kembali kepada faktor-faktor tertentu. Tidak mustahil, puncanya ialah kerana tanah yang diambil ialah secara zalim. Mungkin juga faktor lain.
Yang penting, jika meluaskan masjid, membina bangunan, membuat apa-apa projek, jangan ada kezaliman yang dibuat kepada sesiapa dan hak sesiapa.
Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu