Berlakon santai-santai

Berlakon santai-santai

georgie@hmetro.com.my

BAHAGIA melayari kehidupan bergelar ibu, pelakon, Cristina Suzanne, 40, merasakan sekarang adalah masa yang tepat buatnya kembali merancakkan kerjaya lakonan.

Cristina atau nama sebenarnya Cristina Suzanne Stockstill tidak menafikan anak antara punca dia memperlahankan kerjayanya. Dia mahu menikmati dan melihat anaknya membesar di depan mata.

Anaknya, Noah yang kini berusia enam tahun antara keutamaan terpenting pelakon filem Kil ini. Dia gembira apabila hari-harinya sekarang banyak ditemani Noah termasuk pergi bekerja.

“Ketika dia masih kecil, saya ambil masa nak rehat menjaganya. Saya tak nak tinggalkan dia, siapa nak jaga? Bahaya. Kami pun tak ada pembantu rumah.

“Alhamdulillah, Noah anak yang baik setakat ini. Meragam dia pun belum sampai tahap saya boleh ‘gila’ dan masih terkawal. Kalau tak sekolah, kadang-kadang dia pun ikut pergi ‘shooting’ (penggambaran).

“Sekarang dia sudah besar, sebab itu saya keluar balik. Memang sudah tiba masanya, namun pendekatan saya adalah hanya santai-santai ambil tawaran berlakon yang termampu,” katanya.

Ketika era kegemilangannya dulu, Cristina tidak menafikan dia menjadi buruan ramai penerbit. Namanya cukup hangat untuk dijadikan teraju utama mana-mana drama atau filem.

Selain rupa paras jelita, kehebatan bakatnya terbukti diakui dan sentiasa mempamerkan lakonan cemerlang. Namun, bagi Cristina, turun naik populariti adalah roda kehidupan pelakon.

Sejak dulu, dia sendiri tidak pernah meletakkan dirinya di atas sangat. Dia sentiasa bersyukur meletakkan keselesaan bekerja itu lebih penting sepanjang menjadi anak seni.

“Saya relaks saja. Setakat ini, alhamdulillah. Saya tak kisah pun terkenal atau tidak. Asalkan masih relevan dan ada saja kemunculan. Orang selesa kerja dengan saya, saya selesa kerja dengan sesiapa.

“Bukan nak cakap besar memilih-milih tawaran. Saya ambil tawaran yang saya mampu buat saja dan bersederhana kerana memang memilih laluan santai saja dalam kerjaya lakonan.

“Dari dulu lagi, saya risau sangat kalau berada terlalu di atas, kalau jatuh, pasti sakit. Saya sudah cukup gembira kalau dapat tawaran biasa pun,” katanya.

Hakikatnya, ketika memperlahankan karier bagi menumpukan perhatian terhadap anaknya, Cristina masih terus menerima tawaran lakonan. Dia bersyukur fasa ‘kering’ tawaran itu belum pernah dirasainya.

“Masa anak saya masih bayi pun, ada saja tawaran masuk, tapi tak boleh buat ketika itu. Saya anggap itu dugaan kecil untuk memilih mana yang patut didahulukan,” katanya.

Dalam pada itu, Cristina juga sentiasa berpegang prinsip untuk menghormati individu lain biarpun tidak menerima layanan baik, terutama dalam pergaulan bersama orang industri lain.

Pelakon berdarah kacukan Melayu-Jerman yang dikenali dengan perwatakan ceria dan peramah itu berkata, dia akan melihat dari sudut positif andai berdepan layanan kurang baik.

“Saya tak letak ketetapan untuk orang menghormati, cukup kita yang hormat orang. Kita tak boleh paksa untuk hormat orang, cukup hanya kita yang buat begitu, asalkan hati bahagia.

“Kalau ada yang mahu kurang ajar, mungkin itu masalah dia atau ada isu lain sebab kadang-kadang kita tak tahu apa latar belakangnya. Jadi, tak boleh terus menilai.

“Mungkin ada sebab tersendiri kenapa dia begitu, jadi biarkan saja,” katanya.

Apa pun, Cristina meletakkan batasan tertentu andai ada individu yang bersikap sombong atau tidak baik kepada dirinya.

“Saya akan ambil langkah begitu saja dan tak cakap banyak. Mudah saja, kalau tak mahu hormat saya tak apa. Mungkin bila sudah begitu dia bukan kawan atau kami tidak ada keserasian,” katanya.

Cristina mahu sentiasa berfikiran positif dalam hal membabitkan kerja. Dia enggan bebankan fikiran dan terlebih ambil berat terhadap perkara seumpama yang hanya menambah masalahnya.

“Bagi saya, kalau terlalu memikirkan perkara itu, kita akan jadi terlebih fikir, pening kepala dan rasa nak marah tiba-tiba. Kalau lihat dari segi psikologi memang akan begitu. Jadi, kalau nak gembira anggap itu bukan masalah,” katanya.

Terbaru, Cristina bakal membintangi teater adiwira diasaskan Allahyarham Kamarudin Ismail atau lebih dikenali sebagai Kamn Ismail iaitu Keluang Man bersama barisan pelakon seperti Jay Iswazir, Han Zalini dan Azman Hassan.

Teater kerjasama tiga pihak iaitu Kelab Keluang Man, Sedar Ruang Studio dan Galeri Kamn Ismail arahan Walid Ali itu bakal dipentaskan di Studio Sedar Ruang, Shah Alam, Selangor pada 24 hingga 26 April ini, jam 8 malam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top