'Berkat doa ibu selama 30 tahun' – Ijam Medicine

'Berkat doa ibu selama 30 tahun' – Ijam Medicine

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Bekas penyanyi kumpulan Medicine yang kini pendakwah bebas, Ijam, 58, menyifatkan penghijrahannya ke arah mendalami ilmu agama sejak 2002 lalu adalah berkat doa ibunya selama 30 tahun.

Ijam atau nama sebenarnya, Norhizam Shair berkata, dia mula rasa terpanggil ‘kembali semula’ kepada agama selepas pertemuan dengan bekas Mufti Selangor, Allahyarham Datuk Ishak Baharom, kira-kira 21 tahun lalu yang mengingatkannya kepada kematian.

“Saya melakukan penghijrahan diri kepada mula mendalami ilmu agama dengan serius dan ikhlas pada 2002 apabila bertemu Datuk Ishak Baharom yang memberi nasihat dengan mengingatkan kepada kematian.

“Namun, sebab utama yang membawa saya terbuka hati berhijrah mendalami ilmu agama adalah atas berkat doa daripada emak saya. Selama 30 tahun, emak doakan saya untuk perubahan ini kerana dalam keluarga, saya seorang saja anak lelaki dengan dua kakak.

“Jadi, sebagai ibu bapa sudah pastilah mereka lebih faham ilmu agama terutama peringatan Rasulullah SAW berkaitan kalau matinya anak Adam itu maka terputuslah hubungan atau amalan kecuali tiga perkara, amal jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan doa anak soleh,” katanya.

Ijam yang juga bapa kepada tiga cahaya mata berkata, dia amat bersyukur kerana Allah memberi hidayah kepadanya untuk melakukan perubahan diri sekali gus meninggalkan kerjaya nyanyian sebagai penyanyi rock.

“Saya tahu, ibu bapa saya mungkin takut anak lelakinya terus lalai apabila menjadi penyanyi rock. Subhanallah, takut tiada anak mendoakannya kerana saya pula seorang saja anak lelaki, maka doa daripada emak yang berterusan itu akhirnya dimakbulkan Allah.

“Dengan nasihat ringkas yang diingatkan Datuk Ishak kepada saya iaitu ‘setiap yang bernyawa itu pasti akan merasai mati’, ia amat memberi kesan kepada diri saya yang dirasai sehingga sekarang,” katanya.

Menurut Ijam, sekarang apa saja dilakukan pasti mengingatkannya kepada kematian kerana hanya Allah saja tahu bahawa kematian kita itu diredai atau tidak oleh-Nya Yang Maha Besar.

Tidak meninggalkan terus bidang nyanyian, Ijam berkata, kini dia banyak menghasilkan lagu bergenre ketuhanan dan kerohanian yang membawa kita sebagai pendengar ke arah mencintai Allah dan Rasul.

Ijam yang menetap di Rantau, Negeri Sembilan pernah berkahwin dengan pelakon juga penulis skrip, Rozie Rashid tetapi bercerai.

Kemudian, dia bertemu jodoh dengan Nor Suhaila Abdul Karim, 48, yang kini sentiasa bersama menghadiri majlis ilmu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top