Pelakon Nora Danish menyifatkan ianya hadiah istimewa sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-43 apabila berjaya khatam Al-Quran dalam tempoh 10 hari.
Memetik Harian Metro, Nora berkata ini merupakan pertama kali dia menyertai tadarus secara berkumpulan bersama 30 sahabat yang lain.
BACA: Nora Danish Selesa Hadir Majlis Ilmu Bersama Bekas Suami
“Ini adalah kali pertama saya menyertai tadarus, yang mana kami berjaya khatam dalam tempoh 10 hari. Setiap hari, kami membaca lebih daripada 50 muka surat al-Quran. Saya kira ini adalah pencapaian yang sangat berharga dalam hidup saya sekali gus menjadi hadiah ulang tahun kelahiran saya tahun ini.
“Kami memulakan bacaan pada hari pertama Ramadan bersama seorang ustaz hafiz dan kira-kira 30 orang sahabat lain. Ia benar-benar satu pengalaman yang luar biasa buat saya,” katanya.
Sementara itu, Nora berkata meskipun usia sudah meningkat namun bukanlah penghalang untuk seseorang mendekatkan diri kepada Allah.
“Dalam kes saya, saya bersyukur kerana Allah membuka pintu hati saya sebelum saya meninggalkan dunia ini. Betul, memang belum terlambat untuk kita berusaha menjadi insan yang lebih baik.
“Saya sendiri mengaku, dahulu saya jahil, tetapi saya tetap berusaha untuk menjadi lebih baik. Allah Maha Mendengar, Allah Maha Baik. Jangan sesekali rasa sudah terlambat atau berputus asa. Seeloknya kita segera bertaubat kerana pengakhiran kita itu yang lebih penting,” katanya.
SUMBER: Harian Metro