Beri ruang pihak berkaitan selesai isu kuil dengan baik – Fahmi

Beri ruang pihak berkaitan selesai isu kuil dengan baik – Fahmi

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Orang ramai diminta memberi ruang kepada pihak yang berkenaan bagi menyelesaikan isu pemindahan kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India, di sini.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, isu itu sewajar diselesaikan oleh pemegang taruh berkenaan berikutan hartanah terbabit milik pihak swasta.

“Saya lihat perkara ini wajar diuruskan oleh tuan punya tanah bersama pihak berkaitan iaitu pihak kuil berkenaan.

“Sebelum ini pun memang ada banyak perbincangan dijalankan dan memandangkan isu ini melibatkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk urusan tanah gantian, maka kita yang berada di luar, berikan mereka ruang (berbincang).

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga sudah meminta agar perkara itu diselesaikan dengan baik,” katanya yang ditemui pada program Raikan Syawal dan Majlis Berbuka Puasa Bersama Menteri Komunikasi di IWK Eco Park, di sini, hari ini.

Fahmi berkata, pihak kuil sudah memberikan pandangan mereka dan mengemukakan permohonan membabitkan beberapa lokasi alternatif bagi proses pemindahan.

Katanya, proses itu sedang berjalan dengan pemantauan pihak berwajib bagi mengelakkan berlaku salah faham dalam kalangan mana-mana pihak.

“Kawasan tanah berkenaan adalah milik swasta, bukan tanah kerajaan dan sudah dijual kepada pihak syarikat tekstil Jakel pada tahun 2012.

“Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2020 yang diwartakan pada 2018 turut menetapkan penggunaan tanah terbabit berdasarkan pelan yang terpakai,” katanya.

Beliau sekali lagi meminta semua pihak untuk bersabar dan tidak mengambil tindakan di luar batas undang-undang.

“Saya juga ingin memberi peringatan kepada semua pihak, terutama warganet, agar berhati-hati dalam meninggalkan komen di media sosial.

“Saya dapati ada komen yang tidak wajar dan pihak polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sentiasa memantau perkara ini. Jika ada yang melanggar undang-undang, tindakan tegas akan diambil,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top