Beri pakaian dan kenyangkan rakyat

Beri pakaian dan kenyangkan rakyat

Penulis bersama Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 89)

Advertisement

Sekeping surat dikemukakan kepada Menteri Abu Syujak Muhammad bin Al-Hasan Zahiruddin Ar-Ruzrawari. Tertulis di dalam surat itu: Sebuah rumah si fulanah di DarbulQayyar, ada seorang wanita bersama 4 orang anak yatim. Mereka tiada pakaian dan lapar.

Beliau memanggil pegawainya, lalu berkata: Berikan mereka pakaian dan kenyangkan mereka.

Beliau menanggalkan bajunya dan bersumpah: Aku tidak akan pakai baju ini dan aku tidak berdiang hingga kamu kembali kepadaku dan engkau beritahuku bahawa engkau telah memberi pakaian kepada mereka dan mengenyangkan mereka.

Beliau mundar-mandir, tidak tenang hinggalah pegawainya itu datang dan memberitahunya tentang perkara tersebut. (Wafayatul-A’yan, Ibn Khallikan 5/137)

Ar-Ruzrawari dilahirkan pada tahun 437H/1045 atau 1046M di Al-Ahwaz. Keluarganya dari bandar Ruzrawur, Parsi. Beliau belajar dengan Abu Ishak As-Shairazi. Beliau baik dengan khalifah Al-Muqtada ketika itu hingga beliau dilantik sebagai menteri pada tahun 476H. Beliau kekal di jawatannya hingga dipecat dan dihalau ke Ruzrawur pada tahun 484H.

Pada tahun 487H, beliau musafir ke Mekah untuk menunaikan haji. Beliau meninggal di Madinah pada 15 JamadilAkhir 488H bersamaan 22 Mei 1096M.

Beliau adalah seorang penulis, penyair, ahli sejarah dan ahli politik berasal dari Al-Ahwaz, hidup di abad 5 Hijrah.

Kita kurang mengenali tokoh-tokoh Islam lampau yang hebat-hebat kecuali beberapa nama yang biasa didengar, disebut dan diceritakan. Antaranya nama di atas.

Kisah ini ringkas. Namun, sebagaimana kisah-kisah keadilan pemerintah, sensitiviti pemimpin yang telah banyak diperkatakan sebelum ini dalam siri keadilan Islam ini, ia menunjukkan sifat adil, integriti, kecaknaan terhadap pelbagai lapisan rakyat.

Kisah di atas hanyalah salah satu isu rakyat. Di hadapan kita kini, isunya sangat banyak. Tinggal lagi setakat mana Perdana Menteri, Menteri-Menteri hinggalah pegawai bawahan mengambil tahu, kemudian mengambil tindakan yang sepatutnya terhadap isu rakyat tersebut.

Ar-Ruzrawari mundar-mandir sehinggalah pegawainya kembali memberitahu bahawa tugasan memberi pakaian dan makanan telah dilaksanakan.

Menteri atau pegawai kita mundar-mandir untuk apa? Jangan marah, tanya je. – HARAKAHDAILY 18/1/2024

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu.