
Scaloni (kanan) mahu peminat dan wartawan berhenti membincangkan masa depan Messi bersama skuad Argentina.
JURULATIH Argentina, Lionel Scaloni meminta orang ramai untuk berhenti membincangkan masa depan Lionel Messi dan membiarkan penyerang berusia 37 tahun itu menentukan sendiri masa depannya.
Malah, Scaloni turut mendesak para wartawan untuk mencari topik lain selain membincangkan perkara yang sama.
Messi tidak dibawa oleh Scaloni untuk menghadapi dua perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026 Zon Amerika Selatan bulan ini kerana kecederaan.
Meskipun tanpa Messi, Argentina tetap meraih tiga mata penuh dengan menewaskan Uruguay 1-0 dan membelasah Brasil 4-1, serta mengesahkan tiket ke Piala Dunia.
Selepas kelayakan itu, persoalan mengenai masa depan Messi kembali timbul.
Wartawan dan peminat mempersoalkan sama ada penyerang Inter Miami itu akan beraksi di Piala Dunia 2026 yang akan menjadi kejohanan keenam dalam kariernya atau memilih untuk bersara?
Susulan itu, Scaloni meminta orang ramai agar tidak memberi tekanan kepada Messi untuk segera memberikan jawapan.
“Kita akan lihat apa yang akan berlaku nanti, masih banyak masa. Kita perlu fokus dari satu perlawanan ke perlawanan seterusnya.
“Jika tidak, kita akan terus membincangkan perkara yang sama sepanjang tahun ini.
”Sepatutnya biarlah tuan punya badan yang mengeluarkan kenyataan dan dia akan tentukan bila-bila masa yang dia mahu,” ujar Scaloni.
Selepas memenangi Copa America 2024, Messi baru bermain empat kali dalam lapan perlawanan yang telah dilalui oleh Argentina.
Ketika Messi hadir, Albiceleste meraih dua kemenangan, satu seri dan satu kekalahan.
Namun, apabila ketiadaannya, Argentina meraih tiga kemenangan dan sekali tewas.