am@hmetro.com.my
Marang: Bagi memenuhi permintaan terhadap pelita buluh, pemandu treler mengambil keputusan ‘menggantung’ stereng bagi menyiapkan tempahan yang diterima.
Mohamad Azmizan Abdul Ghani, 41, dari Kampung Merchang, di sini, berkata dia mula membuat pelita buluh ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020.
Menurutnya, bermula hanya dengan menggunakan bahan terbuang seperti tin minuman dan kain seluar jeans yang dijadikan sumbu, dia tidak menyangka pelita buluh yang dibuatnya mendapat sambutan.
Katanya, peringkat awal hanya rakan-rakan yang menempah, namun selepas itu dia mengorak langkah dengan mengkomersialkan pelita yang diperbuat daripada buluh itu.
“Setiap unit pelita buluh dijual dengan harga RM15 dan saya jangka tahun ini lebih daripada 500 unit pelita buluh mampu dijual.
“Kini saya tidak lagi menggunakan tin minuman dan kain seluar jeans sebagai sumbu, sebaliknya beralih kepada zink aluminium dan kain cotton yang siap dipasang untuk dijadikan sumbu,” katanya.
Menurutnya, setiap pelita mempunyai dua ruas buluh dengan enam sumbu dan dua lubang untuk mengisi minyak selain disertakan dua kaki yang turut diperbuat daripada buluh.
Katanya, bagi mengelak pelita berkenaan rosak, dia mengambil inisiatif dengan menghantarnya sendiri kepada pelanggan selain mengirim kepada kenalan untuk dihantar kepada ejen yang tinggal di luar negeri ini.
“Sepanjang Ramadan ini, saya tidak menang tangan untuk menyiapkan tempahan. Sekiranya tiada penghantaran, masa seharian akan dihabiskan untuk menyiapkan pelita buluh yang ditempah.
“Bagi saya, pelanggan bukan sekadar membeli pelita buluh, mereka juga inginkan suasana apabila memasang pelita buluh seolah-olah mengimbau kenangan dahulu,” katanya.
Katanya, permintaan terhadap pelita buluh tetap ada, walaupun terdapat pelita diperbuat daripada plastik di pasaran.
“Pelita yang diperbuat daripada buluh mempunyai nilai sentimental selain mudah untuk digunakan.
“Apabila tiba Ramadan, permintaan pelita yang dihasilkan menggunakan buluh ini akan ada dan ia adalah rezeki tambahan buat saya sekeluarga,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd