Berdosakah menolak tawaran tunai haji?

Berdosakah menolak tawaran tunai haji?

UMUM mengetahui Lembaga Tabung Haji (TH) adalah badan yang menguruskan ibadah haji buat umat Islam di Malaysia dan mereka mengeluarkan surat tawaran untuk mengerjakan ibadah haji setiap tahun.

Bagi ibadah haji pada tahun 1446H/2025, kerajaan Arab Saudi telah menyediakan kuota sebanyak 31,600 dan TH juga telah mengeluarkan surat tawaran kepada bakal jemaah haji bermula 16 Disember 2024.

Timbul persoalan, apakah seseorang yang telah cukup wangnya dan telah diterima permohonan untuk mengerjakan haji ini boleh menolak tawaran tersebut?

Pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, sekiranya dia menolak tawaran menunaikan haji tanpa ada sebab, maka haram ke atasnya menolak tawaran tersebut.

USTAZ AZHAR

USTAZ AZHAR

“Ini kerana dia sudah ada kemampuan yang tidak ada kemudaratan untuk diselesaikan,” jelasnya di akaun YouTube miliknya pada Ahad.

Bagaimanapun katanya, jika ada sebab lain seperti kesakitan atau menjaga suami yang sedang sakit, diharuskan baginya untuk menolak tawaran haji itu.

“Kalau ada kesakitan, ia dikira darurat. Jika kita tidak merawatnya (suami) dan tidak ada orang lain merawatnya, jadi kita korbankan dahulu tawaran haji itu hukumnya dibolehkan.

“Ini kerana ulama menyebut bahawa seseorang yang mempunyai kewangan cukup untuk menunaikan haji, namun dia menggunakan wang tersebut untuk bernikah, ia dihukumkan sebagai harus,” katanya.

DIHARUSKAN menolak tawaran mengerjakan haji atas alasan darurat seperti menjaga suami yang sakit. Foto CANVA

DIHARUSKAN menolak tawaran mengerjakan haji atas alasan darurat seperti menjaga suami yang sakit. Foto CANVA

Jika menggunakan duit untuk menunaikan ibadah Rukun Islam kelima itu bagi urusan pernikahan dibenarkan, maka menggunakannya untuk merawat orang yang sakit itu lebih penting, jelasnya.

Tambahnya, dia boleh mencari duit lain untuk menunaikan haji pada masa akan datang.

“Jika seseorang itu telah berkemampuan, namun ada kemudaratan, perlu dilihat ia mudarat yang kecil atau besar.

“Adapun mudarat kecil, wajib mengerjakan haji terlebih dahulu. Namun jika ia mudarat yang besar seperti suami sedang sakit dan dia merupakan orang yang mencari rezeki dalam kehidupan, maka merawat suami terlebih dahulu adalah harus,” hurainya.

Bagaimanapun jika suami mahu meminjam wang isteri untuk membeli spoiler motosikal Yamaha RXZ, ia tidak dibolehkan kerana ia bukan termasuk dalam keadaan darurat, ujarnya dalam nada bergurau.

Scroll to Top