Berat kurang 50kg sila duduk di rumah

Berat kurang 50kg sila duduk di rumah
Seorang lelaki menunggang motosikal melepasi deretan basikal yang tumbang akibat angin kencang di Beijing. Foto AFP

Seorang lelaki menunggang motosikal melepasi deretan basikal yang tumbang akibat angin kencang di Beijing. Foto AFP

BEIJING – Penduduk di utara China yang mempunyai berat badan kurang daripada 50 kilogram (kg) dinasihatkan supaya tidak keluar rumah susulan cuaca buruk melanda wilayah berkenaan sejak hujung minggu lalu.

Media tempatan melaporkan, langkah luar biasa itu diambil susulan amaran angin kencang terkuat dalam tempoh sedekad yang dijangka melanda Beijing, Tianjin serta beberapa bahagian di wilayah Hebei dengan kelajuan mencecah 150 kilometer sejam (km/j).

Perkhidmatan Meteorologi Beijing telah menaikkan amaran angin kepada tahap oren, iaitu tahap kedua tertinggi dalam sistem amaran empat peringkat negara itu.

“Angin kuat kali ini bersifat ekstrem, berterusan, meliputi kawasan luas serta berisiko tinggi menyebabkan kerosakan harta benda dan mengancam nyawa,” menurut jabatan itu.

Sehubungan itu, pihak berkuasa memberi peringatan khusus kepada individu dengan berat badan bawah 50kg supaya berada di dalam rumah kerana dibimbangi berisiko ‘diterbangkan’ angin kuat.

Selain itu, jutaan penduduk dinasihatkan bekerja dan belajar dari rumah sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Taman awam, lokasi pelancongan dan acara luar turut diarahkan tutup atau dijadualkan semula.

Antara acara yang ditangguhkan termasuklah Maraton Robot Humanoid pertama di dunia yang sepatutnya berlangsung pada 19 April ini. – Agensi

Scroll to Top