Beras campur: 48 premis pengilang, pembungkus disiasat

Beras campur: 48 premis pengilang, pembungkus disiasat

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) membuka 48 kertas siasatan ke atas 48 premis pengilang dan pembungkus kerana disyaki terbabit dalam kegiatan mencampur beras putih tempatan dengan beras import.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata, ia berdasarkan pemeriksaan ke atas 213 premis di seluruh negara menerusi Ops Campur, semalam, susulan pendedahan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) berkaitan perkara itu.

“Hari pertama Ops Campur semalam, KPDN memeriksa 213 premis dan daripada jumlah itu, sebanyak 48 kes dihasilkan.

“Dalam pemeriksaan itu, kita merampas 300 kampit beras bernilai lebih RM15,000 disyaki beras yang dicampur antara beras putih tempatan dan beras import.

“(Sebanyak) 300 kampit beras yang dirampas ini kita gunakan sebagai sampel untuk kita hantar kepada Jabatan Kimia dan Mardi bagi tujuan pengesahan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mardi menerusi Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi baru-baru ini mendedahkan kira-kira 40 hingga 50 peratus beras putih import (BPI) daripada 5,000 sampel yang dianalisis, disahkan bercampur dengan beras putih tempatan.

Pegawai Penyelidik Kanan Biologikal Sains (Genetik) Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi Mardi Mohd Shahril Firdaus Ab Razak dilaporkan berkata, kajian menggunakan teknologi pencapjarian asid deoksiribonukleik (DNA) beras itu dijalankan sepanjang 2023 dan 2024.

Beliau berkata, analisis dibuat bagi mengenal pasti isu kehilangan BPT di pasaran selaras penubuhan Petugas Khas Operasi Bersepadu Beras Putih Tempatan pada 2023 dengan campuran beras dipercayai berlaku di peringkat pengilang dengan petani menanam padi menggunakan benih tempatan.

Mengulas lanjut, Azman berkata, pihaknya menyasarkan untuk memeriksa kira-kira 2,000 premis pengilang dan pembungkus dalam tempoh terdekat bagi memastikan isu beras campur terbabit dapat ditangani segera.

“Ops Campur ini adalah operasi berterusan dan kita akan periksa semua premis di seluruh negara termasuk Sabah, Sarawak dan Labuan.

“Jadi saya ingin memohon semua pihak terutama yang terbabit dalam industri padi dan beras ini supaya memberi kerjasama kepada KPDN untuk kami melaksanakan operasi ini dan kami tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana pihak yang cuba menggagalkan operasi ini,” katanya.

Beliau berkata, penguatkuasaan Ops Campur itu merangkumi perundangan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (AKta 730) dan tindakan undang-undang akan diambil ke atas pihak yang didapati membuat perihal dagangan palsu.

“Bagi individu, mereka boleh disabitkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, denda tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

“Bagi syarikat pula, denda tidak melebihi RM250,000 dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, denda tidak melebihi RM500,000,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top