Berang anak mandi diintai, ketua kampung pukul pemuda hingga maut

Berang anak mandi diintai, ketua kampung pukul pemuda hingga maut

Jakarta: Berang anaknya didakwa diintai ketika mandi, ketua kampung di Lampung Selatan, Indonesia membelasah seorang pemuda sampai mati tanpa usul periksa.

Liputan 6 melaporkan, kejadian berlaku di Dusun IV Sarirejo, Desa Natar Januari lalu apabila Hariyanto, 44, didakwa memukul M Reymico Glen Farisal, 19, dengan menggunakan kayu sehingga meninggal dunia.

Ketua Polis Lampung Selatan, Yusriandi Yusri mengesahkan kejadian itu semalam.

Katanya, perbuatan itu turut menyebabkan ibu mangsa, Juliyah mengalami kesan lebam di bahagian belakang kepala.

“Kejadian bermula apabila Hariyanto mendengar berita Reymico sering mengintai anak perempuannya ketika mandi.

“Suspek pada mulanya ke rumah mangsa dengan berniat menegur anak jirannya namun keadaan bertambah buruk apabila Juliyah, ibu mangsa bertengkar dengan Hariyanto.

“Suspek kemudiannya mencekik dan menghempas Juliyah ke lantai,” katanya.

Yusriandi berkata, mangsa yang baru tiba di rumah mengambil pisau dapur untuk melindungi ibunya.

“Bagaimanapun, suspek semakin beremosi dan memukul Reymico dengan kayu sehingga mangsa terjatuh dan mengalami sawan.

“Mangsa dikejarkan ke hospital untuk rawatan, namun nyawanya tidak dapat diselamatkan apabila dirujuk ke Hospital Urip Sumoharjo,” katanya.

Katanya, suspek ditahan polis selepas keluarga mangsa membuat laporan polis.

“Hasil pemeriksaan, suspek mengaku melakukan perbuatan itu kerana terlalu beremosi,” katanya.

Sabit kesalahan, suspek berdepan hukuman penjara tujuh tahun kerana menyebabkan kematian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top