saiful.haizan@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Kes pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 membabitkan kepemimpinan negara tidak boleh dibiarkan berulang kerana ia berisiko menjejaskan sasaran yang digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Aktivis sosial, Dr Chandra Muzaffar, berkata dalam keadaan pandemik COVID-19, rakyat yang menderita dan sengsara akan menjadi lebih peka terhadap perbuatan sedemikian.
“Ada dua ke tiga kes yang menimbulkan persoalan, tetapi saya nampak sudah ada tindakan untuk mengatasi kes sebegini.
“Jangan benarkan perkara ini berulang, ia tidak baik dari segi sistem pentadbiran dan kita tidak akan dapat mengatasi masalah COVID-19 sekiranya berdepan dengan masalah ‘double standard’atau ‘cakap tak serupa bikin’,” katanya pada wawancara khas bersama media, semalam.
Turut ditegur Chandra ialah golongan pertengahan yang terpelajar kerana kerap melanggar SOP dan lebih malang menganggapnya sebagai satu kejayaan.
“Secara terus terang, saya katakan kita antara masyarakat yang tidak berdisiplin. Apabila ada peraturan termasuk dalam keadaan biasa (sebelum COVID-19), kita tidak ikut.
“Malah selepas mencabul peraturan sedia ada, kita rasa itu satu kemenangan dan kita cerita kepada orang lain,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Chandra berkata, pengurusan persepsi oleh kerajaan dalam isu tertentu pandemik adalah kurang memuaskan sehingga mencetuskan syak wasangka tidak berasas dalam kalangan rakyat.
Beliau berkata, contoh yang ketara ialah sesetengah pihak percaya kerajaan tidak bertindak pantas dalam urusan mendapatkan bekalan vaksin sedangkan apa yang berlaku ialah wujudnya monopoli oleh negara besar.
Katanya, ini menyebabkan Malaysia terpaksa menunggu giliran secara tidak adil apabila negara besar yang kuat, stabil dan berada pada kedudukan geopolitik yang lebih strategik memastikan mereka memperoleh bekalan terlebih dahulu.
“Tetapi oleh kerana kita tidak memberi penjelasan pada peringkat awal, rakyat fikir ini kerana kerajaan terima vaksin dan menyimpannya ataupun kerajaan lambat buat pesanan
“Walhal ini tidak betul kerana kita buat tempahan vaksin sebagaimana negara lain tetapi masalahnya Malaysia menjadi mangsa kepada sistem pembekalan dan pengedaran tidak adil,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd