am@hmetro.com.my
Tangkak: Dua kertas siasatan dibuka susulan bendera China tertera pada replika roket sempena Festival Lampu LED, di pekarangan Dewan Serbaguna Bukit Gambir, di sini.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib, berkata kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Menurutnya, polis menerima laporan polis semalam berkaitan rasa tidak puas hati terhadap gambar replika roket yang tertera logo bendera China.
“Ia berlaku di sebuah dewan serbaguna di Bukit Gambir, di sini sempena Festival Lampu LED yang disiarkan dalam Facebook.
“Laporan dibuat kerana timbul rasa tidak selesa penduduk Bukit Gambir dengan keberadaan replika roket dengan bendera China,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, polis sudah memanggil pihak penganjur untuk memberi keterangan dan membantu siasatan.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Gambir, Sahrihan Jani dalam kenyataan berkata, Pemuda UMNO Bahagian Ledang sudah membuat laporan polis berhubung insiden itu, semalam.
Katanya, beliau sudah berhubung dengan Majlis Daerah Tangkak (MDT) sejak awal isu ini tular bagi menyuarakan kebimbangan terhadap perkara ini yang boleh mencetuskan kegelisahan masyarakat.
“Saya menekankan satu tindakan proaktif termasuk membatalkan permit dan penganjuran program itu, sekiranya benar pihak penganjur tidak mematuhi garis panduan ditetapkan oleh MDT dan pihak keselamatan.
“Saya mengulangi desakan supaya tindakan tegas diambil termasuk pendakwaan kes di mahkamah terhadap penganjur dan penutupan operasi karnival serta merta. Sebarang permohonan maaf tidak cukup untuk menutup kesalahan ini.
“Masyarakat di Bukit Gambir sangat menjunjung tinggi kehidupan harmoni dan bersatu padu serta saling menghormati adat kebudayaan dan kepercayaan masing-masing,” ujarnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd