Ben Amir nafi tinggalkan dunia seni

Ben Amir nafi tinggalkan dunia seni

najiy.jefri@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon popular Ben Amir tidak berhasrat untuk meninggalkan dunia hiburan selepas mengambil keputusan untuk memulakan kehidupan baharu di Pulau Siargao, Filipina.

Ben ketika dihubungi Harian Metro berkata, dia hanya ingin berehat buat seketika waktu, namun jika ada tawaran filem dia bersedia untuk pulang ke tanah air.

“Saya tidak tinggalkan dunia seni. Saya nak berehat sekejap dan lakukan benda lain.

“Kalau ada tawaran filem, baru saya akan balik.  Saya juga nak fokus filem saja selepas ini,” katanya ringkas.

Terdahulu Ben mengejutkan peminat apabila mengumumkan bakal memulakan kehidupan baharu di pulau terbabit.

Keputusan besar itu dikongsikan Ben menerusi sebuah video yang dimuat naik di saluran YouTube miliknya baru-baru ini. 

Dalam video itu, Ben atau nama penuhnya Muhammad Amir Sabaruddin, 35, mendedahkan dia bukan sahaja menetap di pulau berkenaan tetapi juga sedang merancang untuk membina sebuah rumah dan memulakan perniagaan di sana.

“Saya membuat keputusan besar untuk meninggalkan kehidupan bandar dan membina kehidupan baru di pulau yang indah ini bernama Siargao. 

“Tetapi buat masa ini, saya sedang menyesuaikan diri dengan kehidupan pulau bertemu orang baru, mempelajari budaya Filipina serta adat resam mereka. 

“Saya masih baru di sini, saya ingin membina impian saya dari bawah, dan sekarang, saya bekerja untuk bina rumah, villa, perniagaan saya dan tidak lama lagi saya akan mengusahakan sebuah ladang kecil,” katanya.

 

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top