Belon berisi sampah mendarat di pejabat Presiden Korea Selatan

Belon berisi sampah mendarat di pejabat Presiden Korea Selatan

SEOUL – Belon yang diisi sampah-sarap oleh Korea Utara mendarat di perkarangan pejabat Presiden Korea Selatan di sini.

Ia merupakan kali pertama pejabat pemimpin Korea Selatan, yang diisytiharkan sebagai zon tidak boleh terbang, telah ‘dilanggar’ oleh belon yang dihantar Pyongyang.

Pasukan perang saraf yang bertindak balas terhadap peperangan kimia, biologi dan radiologi telah dihantar untuk mengambil belon tersebut, kata perkhidmatan keselamatan presiden.

Mereka mendapati belon berkenaan tidak menimbulkan pencemaran atau risiko keselamatan.

Menurut Yonhap, tentera tidak menembak jatuh belon itu kerana bimbang ia akan menyebabkan kandungan di dalamnya tersebar lebih jauh.

Belon itu juga mendarat di bahagian lain di Seoul dan penduduk dinasihat supaya mengelak daripada menyentuh belon dan segera melaporkan kepada unit tentera atau balai polis terdekat.

Ketua Turus Bersama Korea Selatan berkata, dengan angin bertiup dari barat, belon yang disasarkan ke negara ini berkemungkinan mendarat di wilayah Gyeonggi utara, wilayah paling ramai penduduk.

Insiden terbaharu itu berlaku beberapa hari selepas tentera Korea Selatan bertindak balas dengan memulakan semula siaran propaganda melalui pembesar suara di sepanjang sempadan.

Korea Utara dan Korea Selatan telah menggunakan belon dalam kempen propaganda mereka sejak Perang Korea pada 1950-an.

Pelancaran telah meningkat tahun ini, dengan beribu-ribu belon dihantar oleh Pyongyang merentasi sempadan sejak Mei. – Agensi