Pelakon baharu yang juga isteri kepada aktor, Redza Rosli iaitu Bella Hanna menepis dakwaan kononnya dia menumpang populariti suaminya untuk bertapak dalam industri.
Katanya ketika ditemui XTRA, dia dan suami masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri, justeru istilah menumpang populariti atau mendapat ‘privilege’ itu sama sekali tidak wujud.
“Sebelum saya kenal dia pun saya dah ada producer yang approach. Dan masa tu kebetulan saya masih bekerja tapi of course bila saya dengan dia, sudah ada orang yang nampak.
“Tiada istilah menumpang populariti suami sebab saya dan dia ada keunikan masing-masing. Saya ada keunikan tersendiri, suami saya juga ada keunikannya yang tersendiri,” katanya.
Lima bulan mendirikan rumah tangga bersama Redza, Bella atau nama penuhnya, Farhana Nabila Rosman, 28, berkata, dia dan suami memilih untuk mengehadkan perkongsian di media sosial.
Menurutnya, selain memiliki sifat introvert dia juga mengambil langkah berwaspada untuk berkongsi kebahagiaan di media sosial memandangkan pelbagai isu negatif timbul sejak kebelakangan ini.
“Yang suka buat perkongsian hantaran mempamerkan kebahagiaan di akaun media sosial, pada saya itu masing-masing. Ada orang, dia memang suka. Itu cara dia untuk kongsi kebahagiaan yang kena ‘share’ di media sosial.
“Jadi, bagi saya itu biasa. Begitu juga saya dengan suami, Redza yang sejenis ‘private’. Memang dah macam itu sifatnya. Lagi pun,kena beringatlah.
“Setiap benda yang nak dikongsikan itu kena ingat, tak semua orang suka kita. Suami saya pun seorang yang ‘introvert’ dan dia kalau pergi bekerja, hanya bekerja saja. Selepas itu, balik ke rumah.
“Kalau ada segelintir artis yang suka buat perkongsian hantaran mempamerkan kebahagiaan di akaun media sosial menurut saya itu terpulang diri masing-masing,” jelasnya.
Selain Bella, drama 20 episod, Luruhnya Bunga Cinta 2 turut dibintangi barisan pelakon hebat seperti, Redza Rosli, Tracie Sinidol, Nabila Razali, Auni Yusri dan ramai lagi.
Sekadar info, Redza dan Bella Hanna selamat bernikah pada 21 Jun lalu di dalam majlis yang berlangsung di Cheras dengan dihadiri ibu bapa, anggota keluarga, saudara mara, kenalan rapat dan sahabat masing-masing.