am@hmetro.com.my
Tapah: Pelbagai harapan dan hasrat dilontarkan oleh pengundi muda kepada calon yang bakal dipilih rakyat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) hari ini.
Suri rumah dari Kampung Petalin Baru Bidor, Nurul Naim Jusoh, 29, berkata, sebagai penduduk di Dun berkenaan sudah tentu berharap calon yang menang meneruskan kebajikan rakyat dan membangunkan kawasan setempat termasuk kemudahan infrastruktur serta awam yang lengkap.
Katanya, permasalahan kawasan setempat perlu diselesaikan atau ditangani dengan segera supaya pengundi rasa berbaloi memilih calon berkenaan.
“Calon yang dipilih juga diharapkan mampu membangunkan kawasan Dun ini terutama dalam bidang ekonomi supaya dapat mewujudkan lebih banyak pekerjaan kepada golongan muda.
“Langkah ini secara tidak langsung dapat mengelak anak muda berhijrah ke bandar besar untuk menjamin kelangsungan hidup,” katanya ketika ditemui, dekat sini.
Nurul Naim berkata, jika calon yang menang berjaya wujudkan peluang pekerjaan di Dun ini sudah tentu secara tidak langsung dapat meningkatkan kegiatan ekonomi setempat, malah memberi impak kepada peniaga kecil.
Penduduk Kampung Datuk Kamaruddin, Sabri Musbar Musa, 40, berkata, calon yang pilih oleh pengundi sudah tentu calon yang diyakini mampu berkerja untuk rakyat di Dun ini.
“Sebagai pengundi, sekiranya ada janji yang dibuat sebelum PRK maka seharusnya ditunaikan segera terutama yang membabitkan kepentingan golongan muda.
“Selain itu, calon berkenaan yang menang malah berjaya tunaikan dan realisasikan harapan orang muda maka ia akan menjadi aset undi kepada parti terbabit pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” katanya.
Sabri Musbar berkata, golongan muda masa kini sentiasa prihatin dengan perkembangan setempat dan calon yang menang laksanakanlah tugas dengan sehabis baik kepada rakyat.
Sementara itu, Mohd Al Hapiz Badarudin, 34, dari Kampung Jeram Mengkuang berkata, lebih banyak program kebajikan dilaksanakan kepada golongan sasar tanpa mengira kaum supaya mereka tidak terasa terpinggir dan diabaikan bagi menjamin kelangsungan hidup.
“Memang selama ini ada bantuan diberikan oleh kerajaan mahupun agensi kerajaan namun perlu dipertingkatkan mengikut kehendak dan keperluan semasa.
“Kebajikan perlu disamaratakan atau adil tanpa mengira kaum dan agama asalkan orang yang menerima itu sememangnya layak dibantu disebabkan faktor tertentu,” katanya.
Manakala bagi Muhd Amin Mohd Kamal, 33, dari Kampung Datuk Kamarudin berkata, jika menang maka laksanakanlah tanggungjawab kepada rakyat di Dun ini dengan telus seperti yang dijanjikan ketika kempen PRK berlangsung.
“Di samping itu, sebagai calon yang menang sudah tentu juga kena kerap turun padang berjumpa rakyat hingga ke peringkat akar umbi tanpa mengira status atau latar belakang rakyat.
“Kalau semasa kempen calon sanggup meredah cuaca yang tidak tentu malah tanpa mengira siang atau malam maka jika menang calon terbabit kena buat seperti itu pada waktu secara berkala terutama ketika rakyat ditimpa musibah,” katanya.
Muhd Amin berkata, sebagai pengundi memang mengharapkan khidmat yang terbaik kepada rakyat daripada wakil rakyat yang dipilih pada hari pengundian.
PRK Dun Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon daripada tiga parti.
Ia membabitkan calon Barisan Nasional (BN) mewakili Kerajaan Perpaduan, Dr Mohamad Yusri Bakir yang juga Setiausaha Umno Bahagian Tapah, 54.
Beliau berdepan saingan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tapah, Abd Muhaimin Malek, 44, dan Timbalan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS, 40.
PRK kali ini menyaksikan tiada calon Bebas bertanding untuk merebut kerusi disandang Allahyarham Ishsam Shahruddin, 58, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu.
Kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Ayer Kuning yang diwakili Barisan Nasional (BN) tidak pernah tewas dalam mana-mana pilihan raya sebelum ini termasuk sewaktu negara dilanda gelombang tsunami politik pada 2008.
Ā© New Straits Times Press (M) Bhd