SHAH ALAM: Belia di negeri ini disarankan supaya tidak aktif dalam aktiviti kesukanan semata-mata, sebaliknya turut mendidik diri terhadap keperluan literasi politik dan memahami demokrasi negara.
Selain itu, kesedaran terhadap perubahan iklim serta penjagaan alam sekitar juga perlu dipupuk menerusi aktiviti-aktiviti berkaitan dengan isu tersebut.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan, Mohd. Najwan Halimi berkata, Penggerak Belia Selangor (PeBS) kini beri peruntukan tahunan lebih tinggi bagi 2025 yang sewajarnya dimanfaatkan untuk mempelbagaikan program dan tidak terhad kepada aktiviti sukan dan rekreasi.
āTidak semestinya tertumpu kepada rekreasi dan sukan sahaja, tetapi kita hendak mulakan literasi politik dalam kalangan anak muda dan kesedaran untuk mereka faham tentang perubahan iklim serta kepentingan menjaga alam sekitar.
āKita hendak memastikan belia di Selangor bukan sahaja aktif dalam aktiviti kesukanan, tetapi mereka faham tentang politik dan demokrasi, selain faham tentang tanggung jawab untuk menjaga alam sekitar dan isu-isu perubahan iklim,ā katanya kepada pemberita, malam tadi.
Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2025 mengumumkan peningkatan peruntukan tahunan kepada PeBS sebanyak RM10,000 berbanding RM5,000 yang diberikan sejak 2009.
Dalam pada itu, Mohd. Najwan memberitahu, turut dialu-alukan adalah penubuhan pusat aktiviti warga emas di kawasannya iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Anggerik sebagai kemudahan yang boleh dimanfaatkan oleh komuniti tersebut.
āUntuk Kota Anggerik, ada pusat aktiviti warga emas di Setia Alam, ia semestinya suatu yang baik.
āKita lihat semakin ramai komuniti berusia, kita hendak pastikan dengan adanya pusat aktiviti warga emas dapat memberikan manfaat kepada mereka dan untuk mengisi masa dan menjadikan kehidupan lebih fokus dan ada aktiviti untuk dilakukan di usia lanjut,ā ujarnya. ā UTUSAN