Belanjawan 2025: Peruntukan sektor pelancongan ditingkatkan

Belanjawan 2025: Peruntukan sektor pelancongan ditingkatkan

KUALA TERENGGANU: Kerajaan dijangka meningkatkan peruntukan dalam Belanjawan 2025 bagi merancakkan promosi dan aktiviti pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia pada 2026.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, peruntukan tersebut juga ditambah untuk persediaan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dengan
menyusun pelbagai program yang memberi kesan kepada komuniti ASEAN secara keseluruhannya.

“Dari segi dasarnya mestilah ada pertambahahan untuk sektor pelancongan kerana tahun depan kita mejadi Pengerusi ASEAN dan tahun 2026, kita kena bersedia untuk ‘Visit Malaysia Year’.

“Jadi dalam bajet tahun ini (2025), kita akan menyediakan peruntukan yang mencukupi untuk kita membuat dua-dua usaha (program) ini berjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Sesi Libat Urus Menteri Kewangan II Bersama Penggiat Pelancongan di Terengganu (Bajet 2025) di Muzium Terengganu di sini, hari ini.

Terengganu merupakan negeri kesembilan yang mengadakan sesi libat urus tersebut dalam usaha merangka Belanjawan 2025 yang lebih baik.

Amir Hamzah berkata, Belanjawan 2025 itu turut meliputi kerja-kerja penyelenggaraan dan meningkatkan infrastruktur pelancongan di seluruh negara.

Menurutnya, langkah tersebut diambil untuk memberi keselesaan kepada pelancong yang berkunjung di negara ini.

“Kita akan tengoklah yang mana kita nak beri keutamaan untuk meningkatkan lagi (infrastruktur), jadi bila pelancong datang, dia pun rasa selesa,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sektor pelancongan merupakan antara penyumbang kepada ekonomi negara dan akan diberi tumpuan dalam Belanjawan 2025 untuk memperkasakan sektor berkenaan.

“Pelancongan adalah antara industri yang penting untuk Malaysia kerana ia menjana hasil yang cepat untuk negara,” tambahnya. – UTUSAN

Scroll to Top