Belanjawan 2025: Inisiatif perkasa isu keselamatan dalam talian

Belanjawan 2025: Inisiatif perkasa isu keselamatan dalam talian

saufi@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian akan digubal bagi memastikan penyedia perkhidmatan bertanggungjawab dalam meningkatkan tahap keselamatan khususnya membabitkan kanak-kanak.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, RUU berkenaan bagi mengekang buli siber yang kian merunsingkan.

“Sesuai dengan komitmen membenteng keselamatan siber negara dan penggubalan Akta Keselamatan Siber 2024, Agensi Keselamatan Siber Negara (Nacsa) akan diberi tambahan perjawatan seramai 100 orang dengan tambahan peruntukan RM10 juta.

“Peranan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) terus diperhebat dengan peruntukan RM20 juta dan sebuah Portal Fraud Kebangsaan diluncurkan sebagai ikhtiar memerangi penipuan dalam talian.

“Portal ini mempermudah pengesanan transaksi mencurigakan secara automatik,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar berkata, Akta 574 Kanun Keseksaan dan Akta 593 Kanun Prosedur

Jenayah dipinda bagi membolehkan tindakan lebih berkesan diambil oleh badan penguat kuasa untuk mengekang sindiket akaun keldai, pada tahun ini.

Beliau berkata, sebanyak RM380 juta transaksi mencurigakan berjaya disekat dalam membendung kes penipuan di negara ini dan isu terbabit masih dilihat parah dengan kes yang kian meningkat.

“Ancaman siber kini semakin menggugat tata hidup bermasyarakat dan menjadi lebih membimbangkan.

“Isu scam, pornografi kanak-kanak, pembulian siber di media sosial sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa ialah isu besar yang mesti dibendung,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top