Belanjawan 2025: GPMS harap peruntukan menyeluruh untuk pendidikan

Belanjawan 2025: GPMS harap peruntukan menyeluruh untuk pendidikan

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pembiayaan yang lebih besar diperlukan untuk perpustakaan, buku, jurnal serta bahan pembelajaran digital di platform e-learning bagi memastikan mahasiswa sentiasa mendapat maklumat terkini dan berkualiti.

Hasrat itu disuarakan Naib Presiden Siswa, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Muhammad Danial Alimin yang berkata, kerajaan diharap menambah geran atau dana untuk projek penyelidikan pelajar dan akademik kerana penyelidikan adalah tonggak penting dalam memajukan ilmu pengetahuan serta inovasi.

Katanya, pihaknya juga berharap menerusi Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan petang ini, kerajaan akan memberi penekanan kepada program latihan teknikal, vokasional, dan kemahiran abad ke-21.

“Ini penting bagi melengkapkan mahasiswa dengan kemahiran yang relevan dengan keperluan pasaran kerja. Tambahan pula, GPMS berharap lebih banyak peluang untuk mahasiswa terlibat dalam pembelajaran antarabangsa, yang akan memperluas pengalaman dan pengetahuan mereka di peringkat global,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, GPMS menuntut peruntukan yang lebih besar untuk perkhidmatan kesihatan mental di kampus, termasuk kaunseling dan sokongan psikologi.

Ini kerana, katanya tekanan akademik, kewangan dan sosial yang dihadapi oleh mahasiswa memerlukan perhatian segera.

Selain itu katanya, kemudahan kesihatan di kampus perlu dipertingkatkan dengan adanya klinik asas yang dilengkapi tenaga profesional.

“Kami juga menyeru agar skim insurans kesihatan yang mampu milik diperkenalkan atau ditambah baik untuk pelajar, bagi melindungi mereka daripada kos rawatan yang tinggi, sama ada di hospital kerajaan mahupun swasta.

“GPMS mengharapkan belanjawan 2025 juga harus merangkumi skim khas untuk memastikan graduan mendapat pekerjaan sebaik tamat belajar.

“Ini termasuk sokongan daripada kerajaan dan majikan, serta program latihan praktikal (internship) yang dibiayai sepenuhnya,” katanya.

Muhammad Danial berkata, pihaknya mencadangkan potongan cukai atau subsidi bagi syarikat yang menggaji graduan baru, terutama dalam sektor kritikal seperti teknologi, kesihatan dan tenaga.

“Bagi graduan yang bercita-cita untuk memulakan perniagaan, kami berharap GLC berkaitan menyediakan dana serta bimbingan yang diperlukan.

“Selain itu, program peningkatan kemahiran (upskilling) juga perlu diberikan perhatian dengan menyediakan kursus tambahan yang ditaja untuk graduan dalam bidang yang mempunyai permintaan tinggi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top