Belanjawan 2024: Peruntukan RM393.8 bilion, tertinggi pernah dibentang

Belanjawan 2024: Peruntukan RM393.8 bilion, tertinggi pernah dibentang

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Belanjawan 2024 memperuntukkan sebanyak RM393.8 bilion iaitu belanjawan tertinggi pernah dibentangkan kerajaan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan memberitahu, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM303.8 bilion adalah untuk belanja mengurus, RM90 bilion untuk belanja pembangunan dan RM2 bilion simpanan luar jangka.

“Kutipan hasil kerajaan 2024 dijangka menyaksikan peningkatan daripada RM303.2 bilion tahun ini kepada RM307.6 bilion.

“Defisit fiskal 2024 diunjur berkurang kepada 4.3 peratus ketimbang sasaran 5 peratus tahun ini dan 5.6 peratus tahun 2022,” katanya ketika berucap membentang Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar menambah, perbelanjaan tersebut melibatkan penambahan siling Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) sebanyak RM15 bilion lagi, menjadikan jumlah keseluruhan RM415 bilion untuk tempoh lima tahun.

Beliau berkata, penambahan tersebut menunjukkan kerajaan mengamalkan pendekatan fiskal yang mengembang walaupun pada masa yang sama bertanggungjawab mengurangkan defisit fiskal secara berperingkat.

“Dalam jangka sederhana, Malaysia akan mencapai defisit fiskal 3 peratus atau lebih rendah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sepertim penanda aras ditetapkan dalam Kerangka Ekonomi Madani,” jelasnya.

Menurut beliau, Rang Undang-Undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (FRA) yang diluluskan Dewan Rakyat kelmarin memperkukuh komitmen kerajaan dalam memperteguh tata kelola serta menjamin ketelusan dan pertanggungjawaban.

Perdana Menteri berkata, bagi tahun hadapan, kerajaan menjangka pertumbuhan KDNK antara 4 hingga 5 peratus, berbanding unjuran Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang menjangka ekonomi negara berkembang pada kadar 4.3 peratus.

“Dengan pembaharuan Ekonomi Madani yang bakal dilaksanakan, kerajaan yakin untuk mencapai pertumbuhan menghampiri 5 peratus,” katanya. – MalaysiaGazette