Sejak kebelakangan ini, kecoh di media sosial berkaitan sebuah hospital swasta ‘menahan’ jenazah bayi selama dua minggu sehingga mengundang kemarahan orang ramai.
Mana tidaknya, netizen berpandangan pihak hospital tersebut tidak sewajarnya membekukan jenazah Muhammad Adham Mikail atas alasan bapa bayi berkenaan tidak mampu untuk melunaskan kos rawatan.
Malah, menurut laporan Harian Metro, pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Mohd Hapiz Mahaiyadin menyifatkan tindakan hospital tersebut adalah suatu penganiayaan yang menyalahi hukum syarak.
Beku jenazah bayi
“Tindakan penahanan disebabkan menunggu si bapa untuk menyelesaikan kos bersalin ibunya bukanlah suatu keuzuran syarie (seperti kes pembunuhan, kemalangan dan sebagainya yang perlu dibedah siasat) kerana tuntutan kos itu boleh diselesaikan dengan cara lain.
“Dalam hal ini, ia menjadi satu penganiayaan fizikal yang menyalahi syarak yang tidak wajar dibiarkan berulang sekali lagi,” katanya.
Katanya, perbuatan menahan jenazah bayi hanya boleh dilakukan atas beberapa sebab tertentu dengan mengikut hukum syarak yang telah ditetapkan.
Beku jenazah bayi
Artikel lain: Peguam mahu bantu ibu bapa Adham Mikail, bakal saman pihak terlibat
“Jenazah bayi berkenaan sudah melebihi usia enam bulan, jadi wajib disegerakan melainkan terdapat keuzuran seperti menunggu kedatangan wali (bapa, ibu atau penjaga yang sah) dalam jarak masa singkat yang mana dipercayai badan jenayah masih elok dan tidak berlaku perubahan (membusuk dan seumpamanya),” ujarnya.
Dalam pada itu, Dr Mohd Hapiz turut menitipkan nasihat kepada pihak terlibat supaya menjaga lisan berhubung dakwaan menghina fizikal Adham Mikail yang dilahirkan tidak cukup sifat.
“Tindakan menghina seseorang dalam semua keadaan adalah suatu yang menyalahi akhlak Islam.
“Kita seharusnya menjauhi daripada memaki, mencela, dan berkata tidak elok pada orang lain atau mengenai diri mereka,” tambahnya lagi.
Terdahulu, kecoh di media sosial jenazah bayi Muhammad Adham Mikail dibekukan oleh sebuah hospital swasta selama dua minggu kerana bapanya tidak mampu melunaskan bil rawatan berjumlah RM3,600.
Isu tersebut bertambah buruk apabila bapa Adham Mikail mendakwa pihak hospital telah menghina anak mereka yang dilahirkan tidak cukup sifat iaitu hanya mempunyai satu mata, tiada hidung dan tiada saluran lubang najis.
Bagaimanapun, Hospital Bersalin Razif (HBR) menerusi kenyataanya menjelaskan, dalam masa sama ibu bayi tersebut juga dalam keadaan sihat serta dibenarkan keluar dari wad.
Katanya, permit pengebumian telah ditandatangani dan doktor memaklumkan kepada suami untuk menguruskan pengebumian pada keesokan harinya.
Sumber: Harian Metro (Ruwaida Md Zain)