Kuala Lumpur: Bekas penyanyi kumpulan Raihan, Nordin Jaafar, 49, meninggal dunia di kediamannya di Ulu Yam Bharu, Batang Kali, Selangor, hari ini.
Berita sedih itu dikongsikan di Instagram rasmi kumpulan nasyid itu beberapa jam lalu.
“Semoga rohnya ditempatkan bersama dengan orang-orang yang diredai-Nya. Diampunkan dosa-dosanya, diterima amal solehnya,” tulisnya.
Difahamkan, Allahyarham menghidap kencing manis dan masalah buah pinggang yang turut menjejaskan penglihatannya.
Jenazah disempurnakan di Masjid Al Falah Ulu Yam sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Desa Kaloi selepas solat Zuhur.
Dalam pada itu, penyanyi, Fitri Haris turut berkongsi berita duka itu di Instagram miliknya.
“Sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah kepada Almarhum Nordin, moga bersama solihin. Kami pasti menyusul bertemu-Nya,” katanya.
Allahyarham Nordin memulakan karier seninya dengan menganggotai kumpulan nasyid Alarm Me yang popular dengan lagu Bulan-Bulan Islam.
Pada 2006, Allahyarham menyertai Raihan menggantikan penyanyi utama Raihan, Nazrey Johani yang tampil dengan album solo.
Pada 2007, Allahyarham keluar dari Raihan dan muncul sebagai penyanyi solo dengan album Mari Berdoa.
© New Straits Times Press (M) Bhd