Bekas eksekutif kanan syarikat berkaitan petroleum, gas ditahan SPRM

Bekas eksekutif kanan syarikat berkaitan petroleum, gas ditahan SPRM

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang bekas eksekutif kanan sebuah syarikat berkaitan petroleum dan gas ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam.

Beliau ditahan selepas disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM370,000 sebagai balasan bagi mendapatkan kontrak melantik konsultan untuk syarikat berkenaan.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan jam 5.30 petang, semalam, ketika hadir bagi memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.

“Siasatan awal mendapati suspek ketika itu yang bertugas sebagai eksekutif kanan di sebuah syarikat berkaitan petroleum dan gas dipercayai meminta dan menerima rasuah daripada empat individu terbabit.

“Ia bagi membolehkan mereka dilantik sebagai konsultan pakar geologi untuk kerja-kerja di syarikat terbabit,” katanya.

Menurutnya, kesemua individu terbabit dibayar antara RM750 hingga RM2,100 sehari bergantung kepada kadar bayaran konsultan pakar geologi dan tawaran diputuskan oleh syarikat suspek.

“Suspek disyaki menerima wang rasuah melalui transaksi pindahan ke akaun bank miliknya daripada akaun bank keempat-empat individu itu yang berjumlah antara RM150 hingga RM500 sehari,” katanya.

Perintah reman terhadap suspek selama empat hari sehingga 18 Oktober ini dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu.

Katanya, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Ā© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top