Bekas banduan dedah lokasi penahanan Dr Husam 

Bekas banduan dedah lokasi penahanan Dr Husam 

– Advertisement –

SEMALAM saya menulis mengenai penangkapan pengarah Hospital Kamal Udwan, Dr Husam Abu Safiyah. Tidak diketahui apa yang diperlakukan terhadapnya dan tidak diketahui di mana lokasi dia dikurung.

Para peguam, persatuan hak asasi manusia dan Ahli Parlimen Israel berbangsa Arab gagal menjejakinya.

Hari ini Al Jazeerah melaporkan berjaya mengesan lokasi penahanan Dr Husam, walaupun dinafikan oleh pihak Israel. 

Maklumat ini diperolehi dari dua orang bekas tahanan yang baru dibebaskan dari kem tahanan Sde Teiman, hampir 40 km dari sempadan Gaza. 

– Advertisement –

Muhammad Ramlawi dan Mustafa Hasunah yang ditahan di pusat tahanan yang punya rekod pelanggaran hak asasi manusia yang teruk itu mendakwa, sempat bertemu Dr Husam dua hari sebelum mereka dibebaskan.

Ramlawi berkata, “Dua hari sebelum saya dibebaskan saya sangat terkejut apabila Dr Husam dimasukkan ke dalam bilik kurungan kami. Lebih mengejutkan apabila orang yang masuk tengah malam itu ialah orang yang pernah merawat saya suatu masa lalu. Saya menangis melihat keadaannya yang sangat teruk.” 

Dr Husam sempat memberitahunya layanan teruk dan penyiksaan yang dilakukan tentera Israel terhadapnya sejak hari pertama ditahan. 

Sambil menangis, Dr Husam memberitahunya ketika ditahan, tentera Israel membunuh 5 orang petugas kesihatan dan membakar bangunan hospital di hadapan matanya. Semua tahanan dipukul dan dihina. 

“Kenyataan Israel yang menafikan kewujudan Dr Husam di Sde Teiman adalah satu pembohongan nyata. Saya sempat bersamanya di kem tahanan itu selama dua hari sebelum saya dibebaskan. Bahkan beliau memberi nombor telefon isterinya supaya saya memberitahu keadaannya setelah saya dibebaskan,” ujar Muhammad Ramlawi.

Menurutnya petugas kesihatan seperti Dr Husam tidak sepatutnya ditahan di kem tahanan berkenaan.

Seorang lagi tahanan yang baru dibebaskan, Mustafa Hasunah berkata, soal siasat terhadap Dr Husam adalah berkisar usaha Israel untuk mendapatkan maklumat mengenai tawanan Israel yang berada di tangan pejuang.

“Dr Husam memberitahu mereka bahawa dia adalah pakar kanak-kanak dan tidak sebarang maklumat mengenai para tawanan berkenaan dan tidak pernahpun bertemu dengan mereka.”

Menurutnya Dr Husam berada dalam keadaan yang sangat tertekan dengan soal siasat yang tidak ada kena mengena dengannya itu. 

Pengarah Hospital Kamal Udwan ini ditahan tentera Israel pada 27 Disember lalu setelah hospital itu dikepung, dibom dan dibakar. Anaknya dan beberapa orang kakitangan hospital dibunuh. Bahkan Dr Husam sendiri cedera dalam satu serangan.

Penahanan Dr Husam serentak dengan penutupan hospital itu menjadikannya hospital terakhir berfungsi di Utara Gaza. 

Sejak ditahan, Israel merahsiakan lokasi penahanannya dan melarang peguam bertemu dengannya. Sehinggalah pendedahan dibuat oleh dua orang bekas banduan ini kepada Al Jazeerah.

USTAZ ARIS HAZLAN ISMAIL – HARAKAHDAILY 9/1/2025

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

Scroll to Top