Bekas ahli politik maut dibaham harimau Siberia

Bekas ahli politik maut dibaham harimau Siberia
Bekas ahli politik maut dibaham harimau Siberia

Anggota penyiasat berada di lokasi kejadian bekas ahli politik dibaham harimau di kawasan terpencil Primorsky. Foto Agensi

MOSCOW – Seorang bekas ahli politik Rusia maut selepas dibaham dan dimakan oleh seekor harimau Siberia di sebuah hutan di wilayah Primorsky, timur jauh Rusia.

Mail Online melaporkan, mangsa, Andrey Kovera, 55, diserang secara ganas oleh harimau berkenaan yang merobek lengannya, mencederakan kepalanya, serta memakan organ dalamannya.

Anak lelaki mangsa, Konstantin, berkata bapanya telah bekerja sebagai renjer hutan selama bertahun-tahun dan tahu bagaimana berhadapan dengan pemangsa.

“Tetapi harimau itu menyerangnya dari belakang,” katanya.

Susulan kejadian, pihak berkuasa melancarkan operasi besar-besaran bagi mengesan harimau Siberia atau dikenali sebagai harimau Amur yang dipercayai menyerang Kovera.

Mangsa, Andrey Kovera, 55, diserang secara ganas oleh harimau Siberia di hutan kawasan terpencil Primorsky. Foto Agensi

Mangsa, Andrey Kovera, 55, diserang secara ganas oleh harimau Siberia di hutan kawasan terpencil Primorsky. Foto Agensi

Harimau Siberia merupakan spesies kucing besar terbesar di dunia dan hanya ditemui di timur Rusia.

Populasi spesies ini meningkat dalam tempoh dua dekad lalu selepas sebelum ini diancam kepupusan. Namun, peningkatan jumlah harimau ini kini menjadi ancaman kepada manusia.

Ketika ini, dianggarkan tidak lebih daripada 540 ekor harimau Siberia hidup di habitat liar.

Semasa kejadian, Kovera bersama seorang pembantunya memasuki hutan bersalji di kawasan terpencil Primorsky sebelum dia diserang secara mengejut oleh haiwan pemangsa itu.

Rakannya berjaya keluar dari hutan dan melaporkan serangan tersebut. Pasukan penyelamat kemudian menemui sisa mayat Kovera.

Pakar percaya harimau yang menyerang itu mengalami kecederaan dan kini bersembunyi di kawasan berbatu kira-kira 900 meter dari lokasi mayat ditemui.

Pakar harimau terkemuka Rusia, Sergey Aramilev, berkata operasi menjejak harimau tersebut masih berlangsung.

“Ia tidak dapat dijangka bila harimau itu akan ditangkap. Ada tanda-tanda kecederaan pada harimau berkenaan, tetapi kami hanya dapat memastikannya selepas ia berjaya ditangkap,” katanya.

Kovera disifatkan sebagai seorang ahli politik yang dihormati di timur jauh Rusia. – Agensi

Scroll to Top